Anthony Loke Siew Fook. Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pertama, Trans Borneo Railway (TBR) sepanjang 1,620 kilometer (km) yang bakal menghubungkan Malaysia Timur, Brunei dan Kalimantan, Indonesia kini dalam fasa penilaian akhir dan dijangka siap pada Ogos 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan kajian itu dijangka bermula bulan depan dan mengambil masa 12 bulan.
Katanya, menerusi hasil kajian tersebut, kerajaan dapat menggunakannya bagi menilai kebolehlaksanaan sistem rel rentas negara dengan Brunei dan Indonesia di Kepulauan Borneo.
“Jaringan ini dijangka mampu meningkatkan ketersambungan dan merancakkan aktiviti logistik terutama dengan ibu negara baharu Indonesia iaitu Nusantara di Kalimantan Timur,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) meminta menteri menyatakan status kajian projek itu dan sejauh mana komitmen kerajaan Malaysia dalam merealisasi pembangunan sistem rel rentas negara bersama Brunei dan Indonesia di Kepulauan Borneo.
Pada 31 Mac lalu, syarikat dari Brunei, Brunergy Utama Sdn. Bhd. mengumumkan pelaksanaan projek TBR yang bakal menghubungkan Malaysia Timur, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Syarikat itu dalam laman sesawang rasminya dengan menyatakan, projek akan dibina dalam dua fasa dengan kereta api berkenaan berkelajuan 300 hingga 350 kilometer (km) sejam, manakala purata bagi setiap perjalanan mengambil masa selama 30 minit.
Projek itu pertama kali dibentang kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam pada 2022, sebelum diumum pada Jun 2023, selepas syarikat tersebut mengadakan beberapa siri lawatan kepada kementerian berkaitan di ketiga-tiga negara.
Menurut Brunergy, pengenalan projek berkenaan ke rantau ini akan meningkatkan interaksi manusia ke tahap yang mampan untuk 50 tahun akan datang tanpa banyak persaingan dan perubahan teknologi.
Projek TBR fasa pertama akan menghubungkan kuasa ekonomi di bandar-bandar pantai barat ke timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.
Pembinaan laluan dalam fasa pertama akan melibatkan bandar raya Kota Kinabalu-Kimanis/Papar-Beaufort-Sipitang-Lawas-Bangar-Limbang-Bukit Panggal-Miri-Bintulu-Sibu-Sri Aman-Kuching-Sambas-Singgawang-Mempawah-Pontianak.
Bagi fasa kedua projek itu akan memasuki wilayah Kalimantan Utara dan Timur untuk menghubungkan laluan utama dengan bandar terbesar Borneo, Samarinda dan kemudian bakal ibu negara Indonesia baharu, Nusantara.
Pembinaan bagi laluan berkenaan melibatkan stesen dari Bukit Panggal (di Brunei) ke Long Seridan-Ba’ Kelalan-Long Bawan-Malinau-Tanjung Selor-Tandjungredeb-Pengadan-Lubuk Tutung-Bontang-Samarinda-Balikpapan.
Brunergy yang diperbadankan pada 21 Oktober 2013 pada awalnya dikenali sebagai Mumin Energy (B) Sdn. Bhd. dan beroperasi dalam sektor minyak dan gas.
Setahun kemudian, pengasas syarikat, Danny Chong dan Khalid Abdul Mumin menyelaras semula misi syarikat dengan memberi tumpuan kepada sistem penghantaran pengangkutan massa untuk Brunei dan Malaysia, sekali gus menamakan semula syarikat itu pada 5 Ogos 2014 kepada Brunergy Utama (B) Sdn. Bhd.


































