Hajiji mempengerusikan mesyuarat JKKN Sabah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan semua ketua jabatan yang berkaitan mengambil tindakan tegas dan pantas dalam menangani isu-isu semasa yang berlaku di negeri ini seperti isu Pala’u dan banjir.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak mahu isu-isu semasa itu menjadi lebih besar hingga menjejaskan reputasi negeri dan negara di luar negara.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Mesyuarat membincangkan pelbagai isu semasa yang berlaku di negeri ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Pengarah Keselamatan Negeri merangkap Setiausaha JKKN Sabah, Datuk Noor Alam Khan A Wahid Khan dan ketua-ketua jabatan.


































