Aktiviti penyeludupan masih aktif di sepanjang Sungai Golok.
TUMPAT: Kumpulan penyeludup bertindak melepaskan dua das tembakan ke udara dan satu ke arah sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan selepas kegiatan penyeludupan petrol bersubsidi dan diesel di kawasan pangkalan haram Pok Mat, Kampung Simpangan di sini diserbu agensi berkenaan pada Rabu lalu.
Serbuan pukul 9.45 pagi itu dilakukan oleh lima anggota yang sedang melakukan rondaan rutin di Sungai Golok yang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kastam negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas mengesan 15 buah bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti memunggah bahan api dipercayai petrol bersubsidi dan diesel.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian menghampiri salah sebuah bot berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
“Salah seorang pegawai telah bertindak melompat masuk ke dalam bot enjin galah. Penyeludup yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa JKDM cuba melarikan diri dengan melompat ke atas bot milik rakannya.
“Kemudian, rakan penyeludup yang datang untuk membantu telah bertindak mengacukan pistol ke arah anggota penguat kuasa sebelum melarikan diri menghala ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, sebaik sahaja memasuki perairan sempadan negara jiran, penyeludup itu melepaskan tembakan ke udara.
Katanya, anggota bertugas kemudian bertindak memusingkan bot yang dinaiki mereka dengan cepat sekali gus menyaksikan bot milik penyeludup tenggelam.
“Bot tersebut sarat dengan bahan bakar petrol bersubsidi. Anggota bertugas kemudian memotong tali bot enjin galah tersebut dan terus memecut meninggalkan lokasi.
“Selepas membuat pusingan untuk membawa balik bot ke pejabat JKDM, penyeludup datang semula dan melepaskan satu das tembakan ke arah pasukan operasi,” ujarnya.
Wan Jamal Abdul Salam menegaskan, ancaman seperti ini tidak melunturkan semangat warga kerja JKDM untuk terus menguatkuasakan undang-undang.
































