Pemain Sepanyol menjalani latihan selepas layak ke pusingan 16 akhir Euro 2024.
GELSENKIRCHEN: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menegaskan tiada mana-mana pasukan lebih baik daripada skuad La Roja pada kempen Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Menurut Utusan Malaysia, skuad La Rajo menewaskan juara bertahan, Itali 1-0 dalam aksi Kumpulan B Euro sekali gus mara ke peringkat 16 pasukan terakhir.
“Saya sangat gembira dan berbangga bukan sahaja dengan keputusan menentang pasukan hebat, juara bertahan Eropah tetapi juga cara kami mendapatkannya namun kejohanan ini amat sukar.
“Lawan akan mengenali kita sepanjang kejohanan ini jadi amat sukar untuk menang dalam pertandingan seperti ini namun saya fikir tiada pasukan lebih baik berbanding kami dan kami hanya perlu terus bekerja dan bermain seperti kami lakukan,” kata De la Fuente.
Sepanyol menguasai perlawanan yang diadakan di Arena AufSchalke malah boleh menang dengan jumlah jaringan lebih banyak namun terpaksa berpuas hati dengan satu jaringan berpunca daripada gol sendiri pertahanan Itali, Riccardo Calafiori.
Keputusan itu bermakna juara Eropah tiga kali itu mengumpul enam mata dan bakal menamatkan saingan Kumpulan B di tangga teratas apabila mereka dijadual menentang Albania pada 25 Jun ini.
“Bola sepak adalah fizikal namun ia melibatkan teknik dan taktik. Kami rasa lebih unggul dalam setiap aspek namun masih banyak ruang untuk penambahbaikan walaupun kami akan tetap berpegang kepada realiti kerana setiap perlawanan adalah sukar
“Tanpa ragu-ragu saya fikir ini adalah aksi terbaik daripada 17 perlawanan yang saya kendalikan, paling lengkap.
“Sudah tentu saya sangat gembira tetapi kami belum melakukan apa-apa agi. Kami perlu kekal berhati-hati. Kami tidak akan hilang kawalan disebabkan pujian,” kata jurulatih berusia 62 tahun itu.
De la Fuente menggantikan Luis Enrique selepas Sepanyol tersingkir di peringkat 16 pasukan terakhir Piala Dunia 2022 kepada Maghribi berkata, dia akan melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menghadapi Albania di Duesseldorf.
“Perlawanan terakhir memberi kami peluang untuk menyegarkan pasukan an memberi peluang kepada beberapa pemain hebat yang kami ada di bangku simpanan,” katanya.






























