PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan blok BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) menyediakan Malaysia dengan pasaran yang luas dengan populasi terbesar dunia, berikutan kuasa membeli pengguna yang semakin meningkat.
Menurut Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata, hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan itu kerana BRICS mempunyai saiz ekonomi yang lebih besar dan bersaing dengan kumpulan tujuh ekonomi terbesar (G7) yang menguasai dunia pada masa ini.
“Ini adalah selari dengan jiran dari negara ASEAN lain iaitu Indonesia dan Thailand yang terlebih dahulu mengemukakan permohonan masing-masing kepada gabungan BRICS.
“Selain blok ekonomi yang lebih besar dari Asean dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APAC), BRICS juga mempunyai kekuatan geopolitik tersendiri.
“Ini terutama dalam mengimbangkan dengan pengaruh Amerika Syarikat (AS) yang menerajui G7 dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang turut bersekutu dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jelas Aimi Zulhazmi, secara logiknya China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.
“Sebagai contoh, pada tahun lalu, jumlah dagangan mencecah RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menjadikan China sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-15 berturut-turut.
“Sehingga Februari 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara telah mencapai AS$15.52 biion (RM64.508 bilion),” katanya.
Pada masa yang sama, Aimi Zulhazmi berkata, negara lain yang mahu berdagang dengan BRICS namun tidak mahu menyertai organisasi terbabit seperti negara EU boleh menjadikan Malaysia sebagai laluan untuk menjadi pintu masuk ke China dan BRICS.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, terdapat keperluan strategik untuk memastikan hubungan perdagangan dengan negara-negara yang menyertai BRICS ditingkatkan.
Menurutnya, ini disebabkan prospek pertumbuhan ekonominya yang pesat serta pasaran yang luas memandangkan jumlah populasinya besar.
“Justeru, pihak kerajaan disaran untuk membuat penelitian serta analisis kos dan manfaat supaya sebarang perjanjian yang dicapai akan menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya.
Mohd. Afzanizam menjelaskan, saiz ekonomi BRICS telah berkembang pesat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 1983 sehingga 2023 adalah sebanyak 8.1 peratus setahun.
Katanya, lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi G7 yang terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom (UK) dan AS iaitu 4.6 peratus dalam tempoh yang sama.
“Nisbah KDNK ekonomi BRICS berbanding KDNK dunia meningkat daripada 14.5 peratus pada tahun 1983 kepada 32.0 peratus pada 2023 dan telah pun melebihi nisbah negara G7 iaitu 30 peratus.
“Selain itu, jumlah populasi BRICS setakat 2023 adalah 3.4 billion orang berbanding negara G7 iaitu 777 juta orang,” katanya.
Mohd. Afzanizam berkata, peningkatan profil BRICS dijangka mampu mengimbangi kuasa dunia terutama dari sudut penggubalan dasar ekonomi, keselamatan, serta perubahan iklim.
Dalam temu bual dengan media China, Guancha yang diterbitkan pada 17 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menyertai kumpulan BRICS dan akan memulakan proses penyertaan tidak lama lagi.
Pengumuman ini dibuat hanya beberapa minggu selepas Thailand menyatakan minat bagi menyertai blok berkenaan.
































