Bao Zi catat Rekod Dunia Guinness kerana kemahirannya bermain papan selaju.
BEIJING: Seekor kucing di China meraih Guinness World Records kerana kemahirannya bermain papan selaju pada jarak kira-kira 9.7 meter dalam tempoh 12.85 saat.
Menurut Utusan Malaysia, Bao Zi, kucing bulu pendek Amerika, memecahkan rekod 10 meter terpantas di atas papan selaju pada usia hanya setahun lapan bulan.
Pemilik Bao Zi yang juga Jurulatih Anjing Profesional, Li Jiangtao berkata, niat asalnya memelihara kucing itu adalah untuk membantu masalah tikus.
“Kami mempunyai masalah tikus di siling pada waktu malam, jadi saya menggunakan Bao Zi bagi menakutkan mereka,” katanya.
Tidak lama kemudian, Jiangtao menyedari Bao Zi mempunyai bakat lain melebihi tugas asalnya yang hanya perlu menakut-nakutkan tikus.
“Saya melatih anjing selamat lebih sedekad dan mula bermain papan selaju dengan anjing saya sendiri untuk berseronok. Namun, Bao Zi menunjukkan minat mendalam terhadap papan selaju dan saya memutuskan untuk melatihnya,” kata Jiangtao.
Katanya, kucing itu mengambil masa kira-kira setahun untuk menguasai seni bermain papan selaju.
“Sebenarnya, agak mencabar untuk melatih kucing kerana mereka tidak belajar secepat anjing. Malah, kucing juga mempunyai pelbagai helah dan cepat lupa,” katanya.
Jiangtao berkata, pengalamannya mengajar Bao Zi mendorong dia mengembangkan perniagaan untuk melatih kucing.
Kepakarannya ialah mengajar kucing menggunakan tandas dan mengepam apabila selesai membuang air.
































