SEREMBAN: Seorang anggota polis ditemukan mati dipercayai menggantung diri di tandas Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Lebuhraya Utara-Selatan, Nilai arah selatan, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kira-kira pukul 5.45 petang, Balai Polis Nilai telah menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemukan tergantung di sebuah tandas hentian rehat di sebuah lebuh raya.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati yang berumur 25 tahun dan telah berkahwin itu merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Kontinjen Kuala Lumpur.
“Si mati ditemukan dalam keadaan tergantung di tiang besi atas penghadang di dalam tandas dan dipercayai telah membunuh diri dengan menjerut lehernya menggunakan jaket disyaki miliknya.
“Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan telah
membantu siasatan di tempat kejadian dan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh si mati kecuali hanya kesan jerutan di leher akibat tergantung,” katanya ketika dihubungi.
Berikutan itu, katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Si mati telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi pihak polis dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dijalankan.
































