JEMPOL: Seorang pesara kerajaan rugi puluhan ribu ringgit selepas diugut untuk disebarkan video lucah yang memaparkan dirinya oleh seorang wanita warga asing yang dikenali di Facebook.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek kemudiannya telah menghubungi mangsa iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun menerusi WhatsApp menggunakan nombor telefon negara asing namun tidak diendahkan mangsa.
“Pada Isnin lalu (3 Jun) kira-kira pukul 4.30 petang, mangsa telah menjawab panggilan video dari suspek dan mendapati suspek dalam keadaan tidak berpakaian yang meminta mangsa membuka pakaian.
“Mangsa telah membuka seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada suspek dan melayan panggilan video tersebut lebih kurang seminit. Tidak lama kemudian suspek telah menghantar satu video berdurasi satu minit memaparkan muka dan kemaluan mangsa, oleh kerana bimbang hal itu terbongkar, pengadu telah memadamkan video tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, pada 4 Jun, mangsa masih menerima video yang sama dan suspek meminta bayaran sebanyak 15 juta rupiah untuk memadamkan video tersebut dan video berkenaan akan disebarkan kepada keluarga dan kenalan mangsa.
“Mangsa cuba berunding dengan suspek dan kemudiannya telah pembayaran wang sebanyak RM2,000 menerusi kiriman wang di kaunter pengiriman wang ke nombor akaun 0571376520 atas nama Arin Datul Islamiah, bagaimanapun, pada 5 Jun hingga 7 Jun, mangsa masih menerima ugutan untuk disebarkan video bogel daripada suspek,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya telah membuat lima transaksi ke tiga nombor akaun berlainan berjumlah RM42,500 namun sehingga semalam, mangsa masih menerima ugutan supaya memasukkan wang sebanyak RM58,500 ke nombor akaun lain.
Katanya, oleh kerana sudah ketiadaan wang, mangsa telah ke Balai Polis Bandar Seri Jempol untuk membuat laporan kerana berasa telah ditipu dan bimbang gambar serta video lucah tersebut disebarkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
































