Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mahu membatalkan cadangan bayaran pelancongan pelancong sebanyak 300 baht.
BANGKOK: Thailand akan membatalkan cadangan pentadbiran terdahulu untuk mengenakan bayaran pelancongan sebanyak 300 baht (RM38) daripada pelancong asing yang memasuki negara itu melalui udara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Srettha Thavisin berkata, kerajaannya tidak mempertimbangkan untuk melaksana dasar dicadangkan pada Februari tahun lalu yang mendapat bantahan daripada sektor swasta.
Walaupun mengutip bayaran 300 baht setiap individu boleh menjana pendapatan jangka pendek, Thavisin berkata, perspektif sebenar menunjukkan jika ramai pelancong dibenarkan masuk tanpa bayaran ini, mereka mungkin berbelanja untuk membeli-belah dan aktiviti lain.
Ini boleh merangsang ekonomi dan berpotensi menjana lebih banyak hasil kepada kerajaan daripada kutipan yuran itu sendiri, katanya.
Thavinsi berkata, sebarang keputusan mesti mengambil kira suara semua pihak berkepentingan.
Jika kerajaan boleh menjana pendapatan tambahan daripada sumber cukai lain, mungkin dana boleh diperuntukkan untuk menyokong pelancongan mengikut keperluan.
Apabila ditanya mengenai kedudukan Thailand yang jatuh ke tangga ke-47 daripada 119 negara dalam indeks pembangunan pelancongan dan pengembaraan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Thavinsi berkata, dia mahu menjadi konstruktif dan enggan bersikap menuding jari.
“Kerajaan ini bertujuan untuk terus membangunkan setiap aspek dan kita harus menghormati kerajaan terdahulu kerana semua bersetuju bahawa pelancongan adalah sektor utama penting yang boleh menjana pendapatan besar kepada negara.
“Pelbagai tinjauan pendapat mengiktiraf banyak bandar dan pulau di Thailand sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Kita harus memberi tumpuan kepada suara menggalakkan dan membawa kepada perkembangan, bukan mendengar pendapat tertentu yang mengecewakan,” katanya semalam.
































