KUALA NERUS: Seramai 3,132 guru dari seluruh negara dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan secara dalam talian dari 2021 hingga April lalu.
Berdasarkan statistik guru yang menjadi mangsa sindiket penipuan tersebut menunjukkan secara purata tiga orang terpedaya setiap hari.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Kumaran Karuppannan berkata, kerugian keseluruhan yang dialami warga pendidik akibat sindiket penipuan itu dalam tempoh tersebut dua pula dianggarkan lebih RM30 juta.
Menurutnya, secara perinciannya, seramai 2,418 guru menjadi mangsa penipuan menerusi email, laman web dan media sosial.
Katanya, jumlah mangsa penipuan berkaitan skim pelaburan palsu adalah seramai 457 orang manakala 257 orang menjadi mangsa kes penipuan menggunakan modus operandi menyamar kononnya sebagai pegawai bank, penguat kuasa dan mahkamah
“Angka dalam kalangan guru yang menjadi mangsa scammer agak besar dan membimbangkan dan perlu dibendung segera,” katanya ketika merasmikan program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri di sini, kelmarin.
Seramai 800 guru dari seluruh Terengganu menyertai program anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) selama selama dua hari berakhir hari ini.
Sehubungan itu, Kumaran memberitahu,
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk turun padang menemui golongan guru bagi meningkatkan kesedaran terhadap kes-kes penipuan dalam talian.
“Harap usaha PDRM itu dapat menyemai kesedaran dan kecelikan dalam kalangan warga pendidik agar tidak terus menjadi mangsa penipuan siber lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya mengambil inisiatif membantu kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga pendidik tentang ancaman sindiket penipuan dalam talian.
“Peningkatan kes guru dan pesara guru menjadi mangsa scammer (penipuan) melibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit saban tahun amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius,” ujarnya.

































