Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, inisiatif untuk menstabilkan sepenuhnya bekalan air, khususnya di kawasan Kota Kinabalu sedang giat dilaksanakan dan secara keseluruhan bekalan air di Daerah Kota Kinabalu telah berjaya distabilkan sejak suku ketiga tahun 2023.
Bagaimanapun katanya, gangguan bekalan air adakalanya tidak dapat dielakkan disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) dan juga sistem agihan sama ada berjadual atau kecemasan.
“Pada masa yang sama, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut berhadapan dengan gangguan bekalan air akibat penyambungan paip secara haram oleh penduduk setinggan, yang ada kalanya mengakibatkan gangguan bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sekitarnya.
“Walau bagaimanapun, masalah ini telah dan akan terus ditangani khususnya melalui tindakan penguatkuasaan,” kata Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya dalam kenyataan hari ini sebagai respons kepada isu tular PERHIMPUNAN #KAMIMAHUAIR Sabah.
Sebagai tindakan serta merta, beliau berkata, JANS akan memperkenalkan sistem vendor dalam tempoh terdekat bagi membekalkan air kepada penduduk setinggan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri Negeri baru-baru ini.
Inisiatif ini akan membolehkan kawalan dan pemantauan ke atas penggunaan air oleh penduduk di kawasan-kawasan berkenaan, tambahnya.
“Inisiatif menstabilkan bekalan air di kawasan Kota kinabalu juga termasuklah penambahan kapasiti bekalan air daripada LRA Telibong 2 Fasa 2 sebanyak 15-20 MLD sehari. Ini telah memberi impak signifikan kepada bekalan air di kawasan utara Kota Kinabalu. LRA yang telahpun disiapkan ini berkapasiti 80 MLD dan akan membekalkan sepenuhnya kapasiti berkenaan di kawasan Kota Kinabalu sebaik sahaja jajaran paip di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Pakej Kerja 8 disiapkan awal tahun hadapan.
“Pada masa yang sama, Kementerian Kerja Raya Sabah bersama-sama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Persekutuan serta Kementerian Ekonomi Persekutuan sedang dalam proses akhir memuktamadkan kaedah pelaksanaan projek-projek untuk sistem bekalan air Sabah di bawah pakej peruntukan RM300 juta yang dijangka dimulakan pada tahun ini.
“Skop-skop di bawah projek ini adalah bagi mengurangkan gangguan bekalan, menstabilkan tekanan air, menyelesaikan masalah sambungan tidak mengikut peraturan, menaik taraf dan membaiki aset-aset pam serta penambahan kapasiti loji rawatan air di daerah Kota Kinabalu,” jelas beliau.
Beliau menambah, skop projek ini juga turut melibatkan daerah Papar, Keningau, Lahad Datu dan Tawau.


































