Kerajaan akan menyatakan pendirian tegas mereka terhadap aplikasi X susulan perkembangan terkini platform berkenaan yang membenarkan penggunanya memuat naik kandungan lucah.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyatakan pendirian tegas mereka terhadap aplikasi X susulan perkembangan terkini platform berkenaan yang membenarkan penggunanya memuat naik kandungan lucah.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pendirian tegas itu akan disampaikan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada pengendali platform berkenaan.
“Ini langgar undang-undang, jadi kita akan panjangkan pandangan tegas kerajaan dan dasar negara kepada pihak aplikasi X.
“Saya percaya Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus akan sampaikan (penegasan kerajaan) untuk pastikan semua platform bukan hanya (aplikasi) X faham bahawa beberapa perkara termasuk judi dalam talian, bahan-bahan lucah dan juga perkara-perkara yang tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang negara kita dipatuhi termasuk lah yang sedang berlaku di platform X,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan pemilik aplikasi X, Elon Musk bahawa platform itu akan membenarkan penggunanya memuat naik kandungan lucah.
Kemas kini terbaharu itu bukan sahaja membenarkan pengguna memuat naik kandungan lucah malah mereka juga boleh mengedar dan menggunakan bahan itu selagi ia mendapat persetujuan pihak pelbagai.
Menurut dasar itu, pendedahan kepada bahan grafik lucah akan dihadkan kepada kanak-kanak dan pengguna dewasa yang memilih untuk tidak melihatnya.
Dalam perkembangan berlainan, Fahmi memaklumkan bahawa isu melibatkan pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal yang kini ‘direhatkan’ daripada bersiaran dalam program Salam Baitullah bukan lah perkara yang terlalu ganjil.
Jelasnya, tindakan itu merupakan keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berdasarkan ciapan di platform X awal kelmarin.
“Saya difahamkan ini susulan daripada keputusan KP Penyiaran, saya lihat ciapan beliau di laman X pagi tadi (kelmarin). Saya berpandangan ini adalah keputusan KP dan memang dari semasa ke semasa hos bagi apa-apa acara atau program memang ada diaktifkan atau direhatkan.
“Saya tidak lihat ini sebagai suatu perkara terlalu ganjil, mungkin nanti kita akan bincangkan isunya dan cari apakah langkah-langkah berikut,” ujarnya.
Sementara itu, Fahmi mahu pemilik akaun Facebook yang mendakwa Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengeluarkan arahan untuk menyekat kandungan hantaran dimuat naik olehnya supaya tampil memohon maaf.
Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan oleh individu berkenaan tidak benar dan tindakan menuduh Teo adalah salah.
“Berkenaan dakwaan yang dibuat oleh seorang individu terhadap Timbalan Menteri Komunikasi, ia adalah dakwaan yang telah ditepis oleh SKMM dan beliau tidak mengeluarkan apa-apa arahan.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tindakan untuk menurunkan (kandungan) akhirnya terpulang kepada platform, sekiranya platform itu mendapati ada pelanggaran maka boleh diambil tindakan untuk diturunkan. Saya dan timbalan menteri banyak kali cakap di Parlimen dimana bukan semua permintaan oleh SKMM dituruti atau pun dipenuhi oleh platform-platform ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan SKMM menafikan tindakannya menyekat kandungan dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook atas arahan Teo.
SKMM menerusi kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati kandungan dimuat naik pengguna Facebook berkenaan mengandungi elemen tidak benar dan mengelirukan selain melanggar garis panduan komuniti Meta.

































