Seorang wanita ditemukan tinggal di papan iklan di bumbung pasar raya Family Fare di Midland, Michigan.
NEW YORK: Seorang wanita Michigan ditemui tinggal di papan tanda di atas bumbung sebuah pasar raya di Midland selama kira-kira setahun tanpa ada sesiapa yang menyedarinya.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, gelandangan berusia 34 tahun itu ditemui ketika kontraktor memeriksa sambungan wayar di atas bumbung pasar raya Family Fare baru-baru ini.
“Kontraktor yang masuk ke dalam papan tanda pengiklanan atas bumbung menemukan tetamu rahsia itu yang sudah menukar kawasan berkenaan menjadi tempat tinggal selesa lengkap dengan lantai, komputer dan pembuat kopi.
“Dia mempunyai pekerjaan di tempat lain tetapi kehilangan tempat tinggal dan memilih kawasan itu untuk berteduh selama kira-kira setahun.
“Ia adalah situasi aneh yang membuat kami bingung. Orang ramai ada yang pernah melihatnya tetapi tiada yang tahu dia tinggal di situ,” kata Pegawai Polis Midland, Brennon Warren.
Wanita itu malah digelar ‘Ninja Bumbung’ oleh polis kerana kebijaksanaannya memasuki dan meninggalkan papan tanda atas bumbung itu yang tidak mempunyai tangga.
Sepanjang tinggal di bumbung pasar raya Family Fare, wanita itu berjaya mendapat akses kepada elektrik melalui sambungan bekalan yang ada dan polis turut menjumpai meja mini, komputer, persediaan pencetak, pakaian dan perkakas lain yang sering dilihat di setiap rumah.
Dia dilaporkan enggan menghubungi perkhidmatan untuk gelandangan dan tiada pertuduhan difailkan terhadapnya.
“Wanita tersebut meminta maaf dan akur untuk meninggalkan tempat itu. Ke mana dia pergi selepas itu kami tidak tahu,” kata Warren.


































