PETALING JAYA: Tiada sebarang kemasukan atau penggunaan dadah jenis baharu dikenali sebagai Fentanyl dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, berdasarkan maklumat serta risikan daripada rakan sejawat di luar negara mendapati, tiada kemasukan atau penyeludupan dadah jenis ity ke dalam pasaran tempatan.
“Bagaimanapun, dalam usaha mengekang kemasukan apa jua jenis dadah dan bahan terlarang, JSJN bersama agensi penguat kuasa lain akan memperketat kawalan keselamatan di sempadan negara,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, polis Kelantan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengekang kemasukan dadah jenis baharu dikenali sebagai Fentanyl yang sangat berbahaya kerana mempunyai kesan 100 kali lebih kuat daripada dadah heroin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata sudah ada cubaan membawa masuk dadah jenis ini yang dikesan 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada morfin ke Kelantan, namun usaha itu gagal.
Pengambilan dadah Fentanyl ini boleh menyebabkan penagihnya berubah menjadi seperti ‘zombi’ jika dicampur dengan dadah lain.
Berdasarkan maklumat, Fentanyl adalah dadah sintetik diperbuat daripada campuran herba, bahan kimia toksik, pembasmi kuman dan tulang mayat manusia yang berada di bawah tanah yang mengandungi kesan sulfur dan mampu meningkatkan kesan khayal kepada penggunanya, sekali gus merosakkan otak mereka.
Muhamad Zaki berkata, pihaknya difahamkan dadah itu dibawa masuk di sempadan Myanmar-Thailand dan lokasi itu disifatkan sangat dekat dengan Malaysia yang memerlukan usaha dilakukan bagi mengelak ia memasuki negara ini.
Susulan itu, beliau berkata, polis akan terus berusaha menghalang kemasukan Fentanyl dan bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya, semua pihak terutama ketua polis daerah, ketua kampung, wakil rakyat dan masyarakat perlu bekerjasama memainkan peranan masing-masing ke arah itu.


































