PUTRAJAYA: Seorang banduan akhir yang disabitkan membunuh teman wanita dengan menjerut lehernya menggunakan kain tudung, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan kelmarin menggantikannya dengan hukuman penjara 30 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Shahrul Nizam Mohd. Shah, 52, selepas membenarkan permohonan semakannya.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan pemohon menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 8 Oktober 2008.
Pada prosiding itu, peguam R. Subash memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan perkara itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi. Shahrul Nizam telah menjalani hukuman penjara selama 16 tahun.
Pada 22 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Shahrul Nizam bersalah membunuh teman wanitanya. Lelaki itu mendakwa mangsa akan berkahwin dengan lelaki lain.
Dia disabitkan melakukan perbuatan itu di rumah sewanya di Kampung Gombak, Kuang, Rawang, antara pukul 9 dan 10 pagi 7 Oktober 2008. Rayuan Shahrul Nizam ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Mei 2012.
Ketika membela diri, Shahrul Nizam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia dan bekas kerani itu pada mulanya bercadang membunuh diri dengan meminum racun seperti `Romeo dan Juliet’.
Shahrul Nizam mendakwa mangsa memberitahunya bahawa dia tidak mencintai lelaki yang meminangnya dan oleh itu meminta perayu menjadikannya sebagai isteri.
Bagaimanpun, pemohon meminta teman wanitanya itu bersabar kerana ketika itu dia tidak mempunyai wang.
Pemohon mendakwa mangsa bagaimanapun memaksanya meminum racun terlebih dahulu sehingga menyebabkannya pengsan.
Shahrul Nizam berkata apabila sedar kembali, dia mendapati mangsa sudah tidak bernyawa sebelum bergegas ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.
Laporan bedah siasat bagaimanapun mendapati wanita itu meninggal dunia akibat cekikan dan tiada racun ditemukan di dalam tubuhnya.


































