Pulau Gruinard digunakan sebagai lokasi ujian perang biologi rahsia UK ketika Perang Dunia Kedua.
PADA tahun 1960-an, saluran British Broadcasting Corporation BBC mula menyiasat laporan penduduk tempatan mengenai Pulau Gruinard di luar pantai barat utara Scotland yang dikatakan terlalu berbahaya untuk dijejaki orang awam.
Tiada sesiapa di seberang teluk termasuk penduduk penempatan kecil seperti Laide tahu apa dilakukan pasukan saintis yang diterbangkan ke pulau tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, projek dipanggil Operasi Vegetarian bermula di bawah Paul Fildes yang ketika itu memegang jawatan ketua jabatan biologi di Porton Down, sebuah kemudahan tentera di Wiltshire, England yang masih wujud hari ini.
Porton Down pertama kali ditubuhkan pada 1916 sebagai stesen eksperimen jabatan perang untuk mengkaji kesan agen senjata kimia yang banyak digunakan ketika Perang Dunia Pertama berlangsung.
Pada tahun 1940-an, ketika Britain berperang, Porton Down didakwa membangunkan senjata biologi untuk digunakan menentang Nazi Jerman dengan kesan bencana besar yang mampu meminimumkan pertempuran langsung antara tentera.
Rancangannya adalah untuk menjangkiti kek biji rami dengan spora antraks dan menjatuhkannya menggunakan kapal terbang ke padang rumput lembu di sekitar Jerman.
Lembu-lembu akan memakan kek tersebut dan dengan cepat dijangkiti antraks, begitu juga mereka yang memakan daging haiwan tersebut.
Pelan yang dicadangkan itu akan memusnahkan bekalan daging Jerman dan mencetuskan pencemaran antraks di seluruh negara, mengakibatkan angka kematian yang besar.
Pada musim panas 1942, tentera membeli pulau Gruinard seluas 522 ekar yang terpencil dan tidak berpenghuni untuk memahami cara antraks berfungsi sebagai senjata biologi dalam suasana yang realistik bagi merealisasikan usaha tersebut.
“Sebanyak 80 ekor biri-biri ditambat pada pelbagai peringkat mengikut arah angin. Satu bahan letupan besar mengandungi kuman antraks kemudian diletupkan dengan alat kawalan jauh.
“Hasilnya amat memusnahkan. Dalam masa beberapa hari pendedahan, biri-biri mula menunjukkan gejala dan dengan cepat mula mati. Bangkai haiwan yang dijangkiti dibedah siasat dan kemudian dibakar atau ditanam di bawah puluhan tan runtuhan,” jelas Profesor Emeritus Universiti Leeds, Edward Spiers.
Menurut Spiers, kesan Operasi Vegetarian mencetus malapetaka besar kepada pulau itu kerana antraks adalah bakteria yang mampu bertahan selama beberapa dekad di dalam tanah dan masih boleh menyebabkan jangkitan walaupun bertahun-tahun selepas wabak disebarkan.
“Eksperimen tentera itu berjaya dan saintis yang terlibat kembali ke Porton Down.
“Hasilnya lima juta kek biji rami yang dicampur dengan antraks telah dihasilkan pada 1943 tetapi rancangan itu akhirnya terbengkalai apabila pencerobohan Normandy berkembang, menyebabkan kek itu dimusnahkan selepas perang berakhir.
“Tetapi kesan daripada projek rahsia tersebut menyebabkan Pulau Gruinard menjadi sangat tercemar dan berbahaya untuk didiami manusia atau haiwan, malah air hujan yang mengalir dari pulau itu turut membawa maut,” katanya.
Dalam beberapa bulan selepas ujian tersebut, haiwan di tanah besar berhampiran Teluk Gruinard mula mati dan kerajaan UK secara senyap-senyap membayar pampasan kepada peternak yang terjejas tetapi mendakwa jangkitan itu berpunca daripada pembuangan haiwan oleh kapal Yunani secara cuai.
Beberapa usaha dilakukan sejak perang berakhir untuk menyahcemar kawasan berkenaan dan hanya selepas 48 tahun, pada 24 April 1990 kerajaan UK akhirnya mengisytiharkan Pulau Gruinard bebas antraks tetapi maklumat berkaitan misi rahsia itu hanya didedahkan pada tahun 1997.
Pulau tersebut kekal dalam lipatan sejarah sebagai tapak pertama ujian perang biologi rahsia UK dan akibat daripada apa yang berlaku di sana menjadi bukti betapa bahayanya senjata kimia untuk mencipta kemusnahan di muka bumi.


































