Juliah menyertai Program Khas “Jom Baca Bersama Selama 10 Minit” pada majlis penutupan Festival Sastera Kanak-Kanak dan Program Jom Baca 2024 di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Penggunaan sastera semakin tenggelam dalam kehidupan seharian masyarakat, berikutan tren kehidupan masa kini yang ingin cepat dan ringkas serta cara penyampaian maklumat yang pelbagai, kata isteri Ketua Menteri, Datin Seri Datuk Hajah Juliah Salag.
Katanya, kiasan dan pantun meluas digunakan dalam perbualan seharian pada masa dahulu, yang sinonim dengan masyarakat kita yang terkenal dengan sopan santun dan cenderung bertutur dengan lemah lembut untuk menyampaikan maksud yang tersirat.
Menurutnya, anak-anak perlu dibiasakan dengan penggunaan sastera untuk mengangkatnya sebagai budaya yang diamalkan dari kecil hingga dewasa bagi menjamin kelangsungan penggunaan sastera dalam masyarakat.
“Semua usaha ini perlu diterapkan dalam kehidupan kanak-kanak agar mereka tahu dan lebih mengenali cerita-cerita rakyat yang terdahulu kini semakin hilang dalam kehidupan kanak-kanak.
“Sebenarnya terdapat pelbagai manfaat sastera dalam perkembangan kanak-kanak antaranya ialah peningkatan dalam keterampilan berbahasa, kognitif, simulasi imaginasi dan kreativiti,” katanya merasmikan penutupan Festival Sastera Kanak- Kanak dan Program Jom Baca 2024 di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Tanjung Aru di sini hari ini.
Juliah yang juga Yang di-Pertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata, Festival Sastera Kanak-Kanak dapat mengajak kita melihat kembali akan kepentingan sastera sebagai salah satu medium yang artistik dan indah dalam menyampaikan mesej.

Juliah menyertai Sesi Membaca Buku (Bercerita) bersama kanak-kanak tadika pada majlis penutupan Festival Sastera Kanak-Kanak dan Program Jom Baca 2024 di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini
Beliau berharap festival itu dapat menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, selain memberikan galakan membaca terutama dalam golongan kanak- kanak dan remaja, melalui penulisan, pembacaan dan penceritaan.
Katanya, pelbagai aktiviti diadakan sempena2festival ini akan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali bidang sastera dan berkarya, termasuklah penulisan cerita berantai, pelancaran buku kanak-kanak, sesi bercerita dan deklamasi sajak kanak-kanak.
Beliau berkata, sambutan Festival Sastera Kanak-kanak di Malaysia diadakan sekali dalam 2 tahun dan tahun ini kali pertama Perpustakaan Negeri Sabah menganjurkan festival itu.
Menyentuh Jom Baca tahun 2024 yang bertemakan “Pembacaan Melestarikan Perpaduan”, Juliah berkata, ia adalah program tahunan yang diadakan untuk menjadikan tabiat membaca sebagai satu budaya masyarakat kita.
Turut hadir isteri Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datin Seri Cecilia Edwin Kitingan dan Datin Seri Linda Ewit, isteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datin Hajah Lenny Natasha Musa, Pengarah Perpustakaan Negeri, Fatimah Abdillah, ahli-ahli MUTIARA GRS dan para pelajar.


































