Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mencari punca nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas tersebut.
Katanya, negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa tersebut.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.
“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di-Sisinya. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, dua helikopter milik TLDM itu bertembung dalam sebelum terhempas dipercayai dalam sesi raptai sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 di Kem TLDM Lumut, Manjung, Perak.
TLDM mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan sebuah helikopter FENNEC miliknya telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan TLDM memaklumkan, insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan sesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian.


































