PETALING JAYA : Rakyat Israel yang ditahan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini pada Rabu lalu dipercayai memperolehi enam senjata api daripada pasangan suami isteri warga tempatan.
Perkara itu terbongkar selepas pasangan suami isteri itu diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Penahanan pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan, berpandukan maklumat pasangan berkenaan, polis kemudian menemukan sepucuk pistol berwarna perak berhulu coklat di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz milik mereka.
Soal siasat terhadap pasangan berkenaan, mereka mengakui telah membeli pistol dari Thailands sebelum senjata berkenaan diserahkan kepada seorang lelaki warga asing dipercayai rakyat Israel yang ditahan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
Kata beliau, siasatan lanjut masih berjalan di semua sudut bagi mengesan mereka terlibat.
Terdahulu, seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini pada Rabu lalu.
Lelaki berusia 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.
Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4 ; Smith and Wesson ; Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Siasatan polis mendapati, kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.


































