Sofiah Abdul Majid (tengah) diarah menjalani pemantauan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia selepas dikatakan cuba mengganggu jemaah masjid di Batu Feringghi, Pulau Pinang baru-baru ini.
GEORGE TOWN : Seorang wanita warga emas yang bertindak mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap imam dan bilal Masjid Ar-Rahman, di Batu Feringghi baru-baru ini diarah untuk menjalani pemantauan psikiatri di Hospital Bahagia selama sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi mengeluarkan perintah itu terhadap tertuduh Sofiah Abdul Majid, 65, selepas mendapati wanita itu berada dalam keadaan tidak stabil semasa di mahkamah.
“Berdasarkan pemerhatian, mahkamah mendapati tertuduh kurang stabil dan perlu menjalani permantauan di hospital selama sebulan. Tertuduh perlu kembali ke mahkamah pada 19 April depan dengan laporan psikiatri yang lengkap,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, semasa prosiding, tertuduh didakwa telah menyatakan bahawa imam dan bilal Masjid Ar-Rahman di Batu Feringghi membaca al-Quran seperti anjing menyalak yang dirasuk hantu Cina atau Hindu dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.
Perlakuan tersebut didakwa dilakukan kira-kira pukul 10 malam pada 12 Mac lalu, di Masjid Ar Rahman, Batu Feringghi, di sini.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama setahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Ketika pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, dia juga dilihat dalam keadaan yang tidak stabil dan berulang kali menyatakan bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah satu penipuan.
“Bagaimana saya nak mengaku (pertuduhan yang dibacakan) betul? Semua itu salah. Itu adalah perkataan orang lain. Semua yang dibaca itu tipu, saya tidak setuju dengan penipuan,” kata tertuduh.
Selain itu, selepas mahkamah membuat keputusan bahawa dia perlu menjalani pemantuan di Hospital Bahagia selama sebulan, tertuduh juga dilihat resah dan menyatakan bahawa dia mempunyai temu janji di Hospital Pulau Pinang.
Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Pengarah Pendakwa Raya Pulau Pinang, Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan, satu rakaman video memaparkan seorang wanita yang bertanya kepada seorang jemaah di masjid mengenai suara bacaan bilal dan imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan di situ tular dalam media sosial.
Berikutan itu, pengurusan masjid membuat laporan polis pada Jumaat lalu sebelum satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.


































