KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini, disokong permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luaran, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut Utusan Malaysia, BNM berkata, laporan Tinjauan Ekonomi & Monetari 2023 menunjukkan pertumbuhan akan dipacu oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan tambahan daripada jangkaan pemulihan dalam eksport.
“Permintaan dalam negeri dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan. Perbelanjaan isi rumah diunjurkan akan berkembang pada kadar yang lebih pantas iaitu 5.7 peratus pada 2023 berbanding 4.7 peratus tahun lalu.
“Ia disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin baik berikutan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi dan bantuan bersasar oleh kerajaan.
“Hal ini sebahagiannya dapat mengurangkan kesan kos sara hidup yang lebih tinggi, pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah (LVG) serta kenaikan cukai jualan dan
Perkhidmatan (SST),” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.
Tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.7 peratus disokong oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih, meskipun dalam persekitaran luaran yang mencabar.
Bank pusat berkata, inflasi keseluruhan pula dijangka berpurata antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2024 dalam keadaan tekanan kos yang terkawal berikutan keadaan bekalan global yang semakin reda.
“Prospek inflasi kekal tinggi tertakluk pada risiko inflasi yang meningkat disebabkan oleh potensi pelarasan harga terhadap barangan makanan dan tenaga, serta tekanan luaran daripada kadar
pertukaran dan perkembangan harga komoditi global,” ujarnya.
Pada masa yang sama, BNM juga memantau trend pemegangan mata wang asing oleh syarikat korporat, pengeksport dan pengimport Malaysia.
Ujarnya, tindakan ini menyumbang kepada hasil yang positif memandangkan BNM juga telah memerhatikan aliran dan minat pasaran terhadap pembelian ringgit semakin meningkat.
“Pada masa hadapan, pasaran kewangan menjangka ringgit terus menambah nilai dalam tahun 2024 dan trend penambahan nilai ini akan berterusan berikutan kesan faktor global menjadi semakin reda.
“Beberapa penganalisis telah membuat unjuran sehingga tahun 2025 dan menilai ringgit akan terus kukuh,” katanya.


































