Seramai 42 ‘flower girl’ ditahan kerana disyaki menawarkan pelbagai perkhidmatan tidak bermoral di premis hiburan di sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri ini menahan seramai 44 warga asing termasuk 42 wanita yang dipercayai berkhidmat sebagai ‘flower girl’ di pusat hiburan di sekitar Iskandar Puteri, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, kesemua wanita warga asing yang terdiri daripada 40 rakyat Thailand dan masing-masing seorang Indonesia dan Myanmar itu ditahan dalam Op Gegar yang dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan pada pukul 12.10 tengah malam.
“Serbuan itu dijalankan ekoran aduan awam yang mendakwa terdapat wanita warga asing yang bekerja tanpa permit sah di premis hiburan selain turut melakukan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang tempatan.
“Siasatan awal mendapati ‘flower girl’ berkenaan menerima bayaran antara RM50 hingga RM500 daripada pelanggan berdasarkan layanan diberi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Baharuddin berkata, turut ditahan dua lelaki asing, iaitu warga China dan Bangladesh dan kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun.
“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan PLS,” katanya.
Baharuddin turut memaklumkan pihaknya berjaya menahan seramai 63 warga asing yang didapati bekerja tanpa permit sah sepanjang tempoh seminggu Ramadan ini.
“Tangkapan tersebut dibuat bermula 13 Mac hingga semalam, dengan keseluruhan sebanyak 26 premis di sekitar bandar raya ini telah diserbu.
“Antara yang ditahan termasuk warga Nepal, India, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Filipina serta Myanmar. Kesemua mereka berusia antara tiga hingga 61 tahun telah ditahan,” katanya sambil memberitahu tindakan diambil di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
































