KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan sesi persekolahan yang bermula pada Januari dapat dikembalikan semula pada 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM sudah menyusun dan mengawal kalendar akademik bagi sesi 2024/2025 supaya sesi persekolahan dapat dimulakan pada Februari bagi tahun depan.
Menurut beliau, usaha tersebut dilakukan bagi memastikan sesi persekolahan bagi 2026 dapat dimulakan dari bulan Januari hingga Disember.
“Pada masa sama, KPM perlu pastikan bahawa penyediaan kalendar akademik adalah berdasarkan peraturan-peraturan pendidikan penggal hari dan cuti sekolah 1998 pindaan 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.
“Seperti penyediaan kalendar akademik tahun-tahun sebelum ini, KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama dengan pihak berkepentingan termasuk kesatuan ataupun persatuan guru,” katanya ketika persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang bertanya sama ada kementerian berhasrat mengembalikan semula kalendar persekolahan sebagaimana terdahulu bermula sesi baru Januari sehingga Disember.
Dalam pada itu, Kah Woh turut menyatakan bahwa KPM akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu.
Jelasnya, ia bagi memastikan kokurikulum persekolahan dapat diselesaikan dengan baik dan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Penjajaran kepada peperiksaan awam juga akan dilaksanakan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan,” katanya.
Tambahnya, takwim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan turut diselaraskan.
































