Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik beraksi menentang Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto dalam final All England di Arena Birmingham, hari ini.
PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempersiakan peluang untuk menamatkan kemarau penantian 17 tahun bagi merangkul gelaran beregu lelaki selepas tunduk kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England, hari ini.
Pasangan No. 5 dunia itu tewas straight set 16-21, 16-21 kepada juara bertahan dari Indonesia yang menghuni ranking No. 7 dunia sekali gus, mengulangi pencapaian mereka muncul sebagai naib juara pada 2019.
Dalam aksi final itu, Aaron-Wooi Yik tidak mempamerkan permainan sebenar mereka apabila sentiasa ketinggalan dalam kedua-dua set menentang Fajar-Rian.
Hantaran bulu tangkis sering terkandas dijaring dan hanya bertahan dengan membiarkan lawan melancarkan serangan secara bertali arus.
Berbeza dengan persembahan mereka sewaktu berdepan beregu Taiwan, Lee Jee Huei-Yang Po Hsuan pada separuh akhir, kelmarin, Aaron-Wooi Yik seperti terpaku dan tidak mampu beraksi lebih agresif.
Kali terakhir Malaysia membawa pulang gelaran beregu lelaki pada kejohanan badminton tertua itu ialah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam tahun 2007.
Aaron-Wooi Yik yang sudahpun mengesahkan tempat mereka ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini, menjadi pertaruhan terbaik Malaysia untuk memburu pingat.
Untuk merealisasikan harapan tersebut, persembahan pada final All England tidak boleh diulangi lagi jika berhajat untuk memperbaiki pingat gangsa yang dimenangi mereka di Tokyo, Jepun, tiga tahun lalu kepada kilauan emas di Paris nanti.
Aksi konsisten perlu dipamerkan Aaron-Wooi Yik dan All England yang merupakan kejohanan berstatus Super 1,000 telah memberi gambaran sebenar kepada persediaan beregu utama Malaysia itu menjelang Olimpik.
































