Kenaikan harga bahan binaan boleh menjejaskan pelbagai projek berkepentingan rakyat. – Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) menjangkakan harga hartanah baharu dijangka terus meningkat pada separuh pertama tahun ini, didorong kenaikan harga bahan binaan yang tinggi.
Menurut Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk NK Tong berkata, sebanyak 91 peratus daripada 152 pemaju di semenanjung Malaysia berdepan kenaikan kos bahan binaan tahun lalu berdasarkan Kajian Industri Hartanah Rehda bagi Separuh Kedua 2023 (2H2023) dan Pandangan Pasaran 2024.
Beliau berkata, responden turut melaporkan kenaikan lebih 10 peratus secara purata bagi harga pasir dan konkrit pada tahun lalu.
“Pemaju menjangkakan pada separuh pertama 2024 bahan binaan secara purata akan meningkat sebanyak 15 peratus dan memberi kesan kritikal kepada operasi perniagaan,” katanya.
Jelas NK Tong, ia adalah isu berterusan yang ditambah oleh pandemik Covid-19 dan tiada gambaran akan berakhir dalam masa terdekat.
Katanya, peningkatan bahan binaan menyebabkan kos pembinaan yang lebih tinggi, sekali gus merugikan rakyat.
“Kami berharap isu ini akan ditangani dengan berkesan dan semua pemain industri akan memainkan peranan mereka untuk memastikan rakyat tidak terus terjejas oleh kenaikan itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, NK Tong berkata, tinjauan industri hartanah menunjukkan responden bersikap neutral terhadap prospek perniagaan dan industri hartanah untuk separuh pertama 2024.
“Responden dan pemaju secara amnya masih yakin bahawa pasaran akan bertambah baik untuk separuh kedua tahun ini.
“Walaupun pelancaran unit baharu menurun disebabkan oleh landskap industri semasa, rakyat Malaysia masih melihat nilai kediaman sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pemaju tidak mendapatkan manfaat daripada rancangan pembangunan semula atau memperbaharui hartanah di bawah Akta Pembangunan Semula Bandar (URA).
Ia berikutan dakwaan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) yang menyatakan cadangan undang-undang pembangunan itu bertujuan membolehkan pemaju merampas tanah untuk keuntungan.
“Anggapan itu tidak benar sama sekali kerana banyak proses diperlukan membuat tawaran dan mendapatkan nombor atau peratusan untuk meluluskan projek itu dirombak semula,” katanya.


































