Lu Jingang berlakon sebagai pengemis di sekitar kawasan Taman Qinming Shanghe, wilayah Henan.
BEIJING: Seorang penghibur profesional di China mencari rezeki dengan berlakon sebagai pengemis di sebuah kawasan tumpuan pelancong di negara itu.
Sejak 12 tahun lalu, Lu Jingang dilaporkan melakukan pekerjaan itu dengan menerima wang dan makanan disumbangkan oleh orang ramai yang simpati dengan keadaannya.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Jingang berlakon sebagai pengemis di sekitar Taman Qinming Shanghe, wilayah Henan.
Dengan mukanya yang dipenuhi kotoran, renungan mata sedih dan berpakaian kusut masai, Jingang pandai melakonkan watak pengemis untuk menarik perhatian pelancong mendermakan wang.
Penghibur berbakat itu dikatakan mampu menjana pendapatan sehingga 70,000 yuan (RM45,812) sebulan dengan berlakon sebagai pengemis, selain mendapat banyak sumbangan makanan daripada dijangkakan.
Berdasarkan laporan Time Doctor, purata gaji bulanan di China pada masa ini adalah sekitar 29,000 yuan (RM18,979), sekali gus menjadikan Jingang antara individu yang meraih pendapatan tertinggi di negara Asia itu.
Malah, ada segelintir individu turut menggelar Jingang sebagai pengemis terkaya di China.
Hasil mengemis bulanan Jingang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan kebanyakan warga net meluahkan rasa tidak puas hati terhadapnya.
Sementara itu, Jingang berkata, dia berlakon menjadi pengemis kerana gemar membuat persembahan.
Katanya, ia juga memberi peluang kepadanya untuk menjadi penghibur tanpa perlu menghadiri sesi uji bakat.
































