Zuki Ali (depan, empat kanan) bergambar bersama penerima bantuan Rumah Kasih Insan pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU : Kerajaan Persekutuan menyediakan Dana Komuniti Madani berjumlah RM1 bilion bagi disalurkan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan program tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan itu harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi membantu penduduk setempat menjana ekonomi negeri dan secara langsung menyumbang kepada peningkatan pendapatan sesebuah keluarga.
Menurutnya, semua peruntukan yang disalurkan itu adalah selaras dengan sasaran kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar menjelang tahun 2025.
“Untuk negeri Terengganu pula, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk tujuan pembasmian kemiskinan di negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, (sehingga 29 Februari 2024) sebanyak RM38.21 juta merangkumi pelbagai program dan projek berteraskan pembasmian kemiskinan di seluruh Negeri Terengganu telah diluluskan untuk dilaksanakan bagi tahun 2024 melalui Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu.
“Di Kuala Terengganu sahaja, sebanyak 51 buah rumah peserta eKasih yang berstatus miskin dan miskin tegar akan dibaik pulih dan 23 buah rumah akan dibina baharu bagi memastikan mereka dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Banggol Cempedak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek-projek kemudahan infrastruktur asas seperti longkang dan jalan juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan urusan harian dan kualiti hidup rakyat di Kuala Terengganu berada pada tahap yang memuaskan.
“Sejumlah RM3.675 juta akan dibelanjakan bagi program pembasmian kemiskinan pada tahun 2024,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak RM1.58 bilion telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek Rolling Plan keempat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 di Terengganu dengan jumlah 391 projek yang berimpak tinggi.
“Ini bukan jumlah yang sedikit yang membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak mengabaikan keperluan dan pembangunan di semua negeri secara rata,” katanya.
































