NEW YORK: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mendakwa seorang ahli kumpulan Yakuza kerana mengendalikan bahan nuklear yang diperoleh dari Myanmar dan cuba menjualnya untuk membiayai perjanjian senjata haram.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan kertas pendakwaan didedahkan di mahkamah Manhattan, ketua yakuza, Takeshi Ebisawa bersama seorang lagi defendan, Somphop Singhasiri sebelum ini didakwa pada April 2022 atas kesalahan mengedar dadah dan senjata api.
Kedua-dua individu itu pernah ditahan reman.
“Defenden didakwa bersubahat untuk menjual bahan nuklear gred senjata dan narkotik dari Myanmar dan membeli senjata tentera bagi pihak kumpulan pemberontak bersenjata.
“Amat menyeramkan untuk membayangkan kesannya sekiranya usaha ini berjaya.
“Jabatan kehakiman akan mengheret pihak bertanggungjawab mengedar bahan ini dan mengancam keselamatan AS dan kestabilan antarabangsa,” kata Penolong Peguam Negara Matthew Olsen dari Bahagian Keselamatan Negara Jabatan Kehakiman.
Menurut kertas pendakwaan, senjata tentera itu menjadi sebahagian daripada perjanjian jual beli senjata termasuk peluru berpandu darat ke udara.
Sementara itu, pendakwa raya mendakwa Takeshi dengan `berani’ memindahkan bahan yang mengandungi uranium dan plutonium gred senjata, bersama dadah, dari Myanmar.
Sejak tahun 2020, Takeshi menyatakan kepada seorang pegawai yang menyamar bahawa dia mempunyai akses kepada sejumlah besar bahan nuklear yang ingin dijualnya, memberikan gambar bahan itu bersama-sama alat pengukur tahap radiasi, Geiger counter.
Semasa operasi termasuk ejen yang menyamar, pihak berkuasa Thailand membantu penyiasat AS untuk merampas dua bahan kuning serbuk yang disifatkan defendan sebagai yellowcakeiaitu serbuk pekat uranium.
“Makmal AS membuktikan komposisi isotop plutonium yang terdapat dalam sampel nuklear itu adalah gred senjata.
“Ini bermakna plutonium itu jika dihasilkan dalam kuantiti yang mencukupi, sesuai digunakan dalam senjata nuklear,” jelas Jabatan Kehakiman menerusi satu kenyataan.
Salah seorang konspirator bersama Takeshi mendakwa mereka `mempunyai lebih 2,000 kilogram (kg) Thorium-232 dan lebih daripada 100 kg uranium dalam kompaun U3O8, merujuk kepada sebatian uranium yang biasa ditemukan dalam yellowcake‘.
Kertas pendakwaan itu mendakwa Takeshi menggunakan hasil penjualan bahan nuklear untuk membiayai pembelian senjata bagi pihak kumpulan pemberontak etnik di Myanmar.
Takeshi berdepan hukuman penjara minimum 25 tahun mandatori kerana cuba memperoleh peluru berpandu darat ke udara, serta sehingga 20 tahun penjara disebabkan mengedar bahan nuklear di peringkat antarabangsa.


































