JAKARTA: Indonesia dilanda puting beliung dengan skala besar yang tidak pernah direkodkan sebelum ini, mencederakan sekurang-kurangnya 33 orang dan merosakkan beberapa bangunan, lapor pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, Pakar Klimatologi Badan Penyelidikan Kerajaan (BRIN), Erma Yulihastin berkata, agensi itu akan melakukan penyelidikan dan siasatan segera tentang bencana alam mengejutkan itu yang dilaporkan melanda bandar Sumedang di wilayah Jawa Barat.
Dalam catatan di laman sosial X, Erma berkata, fenomena itu hampir serupa dengan jenis angin kencang yang sering berlaku di hemisfera utara.
Sehingga kini, hanya puting beliung yang lebih kecil direkodkan di Indonesia.
Agensi mitigasi bencana Indonesia berkata, mereka yang cedera hanya mengalami luka ringan yang tidak mengancam nyawa.
Dalam video tular, angin kencang dilihat bertiup di langit sebelum menerbangkan bumbung sebuah kilang sementara satu lagi video yang disiarkan oleh saluran berita Kompas TVmenunjukkan pokok bergegar dengan kuat di jalan utama bandar itu.
Video ketiga menunjukkan panel hadapan kedai serbaneka runtuh hingga penduduk menjerit ketakutan.
Penduduk Sumedang, Kay Tiara memberitahu Reuters, dia berasa panik ketika angin menghampiri.
“Ayah saya sedang duduk di laman dan tiba-tiba dia ternampak plastik terbang dan berpusing-pusing. Tidak lama selepas itu, angin kencang datang berhampiran rumah saya.
“Bumbung rumah saya serta-merta terbang dibawa angin kuat itu. Saya dan keluarga berlindung di dalam rumah saya,” tambahnya.


































