Prabowo Subianto (kiri) bersama Gibran Rakabuming Raka. – ANTARA
JAKARTA: Keputusan tinjauan exit poll dijalankan oleh Penyelidikan dan Pembangunan Kompas menunjukkan calon presiden dan naib presiden, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka menang dalam majoriti segmen pengundi.
Bagaimanapun, pasangan calon itu kalah dalam satu segmen sahaja dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2024.
Menurut Utusan Malaysia, CNN Indonesia melaporkan, Prabowo dan Gibran mengungguli dalam segmen pengundi berdasarkan aspek jantina, umur, pendidikan, status sosio-ekonomi dan agama.
“Misalnya Prabowo-Gibran mendahului dalam segmen pengundi generasi Z, generasi muda Y, pertengahan Y dan X.
“Sebanyak 65.9 peratus pengundi generasi Z yang memilih Prabowo-Gibran.
“Jumlah itu jauh berbeza berbanding gandingan calon Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD yang masing-masing meraih sebanyak 16.7 peratus dan 9.6 peratus,” jelas laporan itu.
Sementara itu, Prabowo-Gibran juga mendahului segmen pengundi berlatarbelakang pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi.
“Pasangan itu mempunyai kelebihan besar membabitkan segmen pengundi berlatarbelakang pendidikan menengah dengan meraih sebanyak 57.4 peratus,” jelas laporan.
Menurut laporan itu, gandingan Prabowo-Gibran juga mendahului segmen pengundi beragama Islam NU, Islam (selain NU dan Muhammadiyah), Kristian, Hindu dan agama lain.
Bagaimanapun, Prabowo dan Gibran hanya kalah di segmen pengundi Islam Muhammadiyah.
“Dalam segmen ini, mereka hanya menerima 41.6 peratus. Pasangan itu tewas kepada Anies-Muhaimin yang meraih sebanyak 41.9 peratus.
“Ganjar-Mahfud pula mendapat sokongan sebanyak 10.6 peratus,” jelas laporan.
Tinjauan exit poll itu dijalankan oleh Penyelidikan dan Pembangunan Kompas dengan menemubual responden secara bersemuka semasa pengundian Pilpres 2024.
Seramai 7,863 responden dipilih secara rawak menggunakan kaedah persampelan sistematik berkadar pelbagai peringkat di 38 wilayah.


































