MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan menyindir sesetengah pihak demi mempertahankan golongan yang dikenakan tindakan undang-undang atas perbuatan rasuah.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, tindakan tegas yang diambil sama seperti yang dikenakan terhadap rakyat lain tanpa tanpa mengira jawatan atau pangkat.
“Secara umum semuanya bersetuju tetapi bila ada tindakan ramai mengeluh, kadang terkena pada golongan ‘maha kaya’ yang telah mengumpul kekayaan berbilion ringgit, namun masih ada mempertahankan mereka kononnya orang itu sudah tua, kes lama. Saya rasa aneh.
“Polis (berpangkat) sarjan kalau ditangkap ambil RM500 dia didakwa, di kampung kalau curi motosikal didakwa dan dipenjara sama ada dia sakit atau di hospital. Tetapi bila kita ambil tindakan pada perasuah besar negara timbul kenyataan mengapa dendam, mengapa zalim, mengapa tidak mengira umur,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, kelmarin.
Tambah Anwar, negara kini menanggung hutang sebanyak RM1.5 trilion dan kerajaan terpaksa merangka ekonomi dengan cermat serta menonjolkan ketegasan menerusi penguatkuasaan bagi menghapuskan golongan perasuah.
Katanya, beliau berbangga dengan sikap profesionalisme oleh agensi-agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya bangga kerana ketegasan kita, mereka bertindak profesional dan terhadap golongan yang telah diketahui merompak kekayaan berpuluh bilion daripada negara ini.
“Kita sekarang mengeluh, hutang termasuk yang terkumpul mencecah RM1.5 trilion, mahu belanja sewenang (dianggap) tidak bertanggungjawab, mahu cermat takut menjejaskan bidang pendidikan, penduduk miskin, kesihatan dan lain-lain. Jadi kita terpaksa merangka ekonomi dengan begitu cermat,” ujarnya.
































