PETALING JAYA: Juruwang, penyambut tetamu dan kerani maklumat antara pekerjaan yang bakal ‘lenyap’ akibat ledakan teknologi, khususnya keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengganti sumber tenaga manusia.
Ramalan itu seperti dinyatakan berdasarkan Forum Ekonomi Dunia 2020 sekali gus menjadi ‘amaran’ kepada masyarakat global untuk mengubahsuai kemahiran dan latihan sedia ada, bagi merebut peluang baki pekerjaan akibat risiko hilang kerjaya selepas ledakan penggunaan khidmat AI.
Selain itu, berdasarkan penelitian dilakukan terhadap Kertas Putih Forum Ekonomi Dunia berjudul Jobs of Tomorrow: Large Language Model and Jobs pada September 2023, beberapa pekerjaan berasaskan manusia berpotensi besar untuk digantikan AI.
Memetik Utusan Malaysia, antara pekerjaan berisiko lenyap ialah pemberi pinjaman kredit dan kerani (88 peratus), penganalisis pengurusan (76 peratus), telepemasaran (87 peratus), pembantu statistik (74 peratus), juruwang (93 peratus), penyambut tetamu dan kerani maklumat (69 peratus) serta juruteknik sains forensik (60 peratus).
“Pekerjaan dengan potensi automasi tinggi seringkali melibatkan kerani pejabat dan mereka yang menumpukan kepada tugas penyimpanan rekod dan pengurusan maklumat,” kata laporan itu.
Selain itu, AI juga berpotensi menggantikan pekerjaan memerlukan kemahiran berfikir antaranya penaja jamin (100 peratus), jurutera bio dan jurutera bioperubatan (100 peratus), ahli matematik (93 peratus), editor (72 peratus), pereka grafik (79 peratus), penilai hartanah (88 peratus); arkitek pangkalan data (86 peratus) dan ahli perangkaan (84 peratus).
Menurut laporan sama, pekerjaan yang kurang terjejas adalah guru (84 peratus), pembantu undang-undang (83 peratus), atlet (73 peratus), kaunselor kesihatan mental (68 peratus) dan pakar pediatrik (66 peratus) kerana memerlukan interaksi secara peribadi.
Sementara itu, bagi industri berpotensi tinggi untuk menyerap AI ialah pasaran modal dan perkhidmatan kewangan, pengurusan pencen dan insurans, teknologi dan maklumat, telekomunikasi, media dan penerbitan serta seni dan hiburan.
Meskipun jutaan pekerjaan diramal hilang, namun, laporan itu juga menjangka, sebanyak 97 juta pekerjaan baharu akan wujud pada masa hadapan antaranya saintis dan penganalisis data, pakar pembelajaran robotik, pakar segalanya internet (IoT), penganalisis keselamatan maklumat, pembangunan perisian dan aplikasi.
Sementara itu, pada Oktober tahun lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak industri membangunkan kod etika dan tadbir urus AI.
Sebelum ini, kerajaan memberitahu, seramai 4.5 juta pekerja di negara ini berisiko hilang pekerjaan menjelang 2030, jika tidak meningkatkan kemahiran dan latihan mendepani kemajuan teknologi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Ts. Ahmad Fauzi Ahmad berkata, penggunaan AI mengancam peluang pekerjaan terhadap manusia dan industri pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau menyarankan supaya industri dan masyarakat mengambil peluang menyesuaikan diri dengan AI kerana keadaan itu tidak dapat dihalang akibat perkembangan semasa.
“Saya percaya, Malaysia sekarang ke arah menjadikan AI sebagai tumpuan. Dengan peruntukan RM20 juta untuk menubuhkan pusat pengajian AI di universiti tempatan, maka, ini merupakan petanda ke arah perkembangan positif. Mahu atau tidak, kena kuasai AI juga.
“Penyesuaian AI ini merentas industri, jadi, pelajar harus menceburi bidang berkaitan teknologi baharu manakala bagi pekerja, yang mungkin hilang pekerjaan, inilah yang dinamakan sebagai peningkatan dan kemahiran semula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Rusli Abdullah mengakui keupayaan AI mengambil alih kebanyakan pekerjaan manusia pada masa hadapan membimbangkan.
Bagaimanapun, katanya, kemajuan teknologi berkenaan dapat memudahkan setiap urusan kerana menjimatkan masa dan tenaga.
Jelasnya, bagi menyesuaikan keadaan, masyarakat global dan industri harus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang kekal dilakukan manusia tanpa bergantung sepenuhnya terhadap AI.
































