Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penjawat awam selepas selesai menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan MiTC, Ayer Keroh, Melaka.
MELAKA: Kabinet tidak pernah membincangkan mengenai pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang diputuskan Lembaga Pengampunan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya melaporkan pengurangan hukuman itu selepas keputusan dibuat minggu lalu.
Kata beliau, banyak cerita negatif yang bertebaran kononnya beliau dan Kabinet terlibat dalam proses tersebut.
“Beberapa minggu lalu sibuk kes pengampunan, ini semua kerana Perdana Menteri dan Kabinet. Kita Kabinet tidak pernah membincangkan (pengurangan hukuman). Saya hanya melaporkan minggu lalu setelah keputusan dibuat Lembaga Pengampunan.
“(Permohonan) didengar oleh Yang di-Pertuan Agong tapi keputusan baginda adalah muktamad mengikut Perlembagaan Persekutuan. Mereka (pembangkang) tahu tapi dipolitikkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Ayer Keroh di sini, kelmarin.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan tidak terlibat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Ia (keputusan Mahkamah Persekutuan) tidak ada kena mengena dengan syariah (mahkamah), ia tentang kuasa negeri. Katakan bulan depan Ketua Menteri buat beberapa undang-undang baharu bulan depan. Jika bercanggah dengan kuasa negeri dan Perlembagaan Persekutuan maka boleh dirujuk Mahkamah Persekutuan.
“Mahkamah Persekutuan sekiranya (didapati) bercanggah akan membatalkannya,” jelasnya.
































