Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mengesan rakaman video platform audio siar atau podcast yang memaparkan sesi temubual dengan seorang lelaki yang terbabit aktiviti persundalan seperti yang tular di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, SKMM ada menerima aduan mengenai video itu, malah laporan turut dibuat.
Beliau berkata, dapatan awal mendapati video didakwa itu tidak dikesan sama ada ia tidak dimuat naik atau telah diturunkan oleh platform atau tuan milik video itu.
“Saya minta pejabat saya meneliti dan memang tidak menemui video yang dimaksudkan dalam akaun media sosial yang dimaksudkan itu.
“Saya ingatkan kepada semua pemilik podcast bahawa kerajaan belum berhasrat untuk mengenakan kawal selia terhadap kandungan yang disediakan.
“Jadi saya minta ‘podcaster’ supaya mengenakan kawalan kendiri dan berpada-padalah kerana kita ada undang-undang dan kita ada adab dan budaya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, semua pihak berhak untuk bersuara kerana ia termaktub dalam Perlembagaan, namun perlu ada batasnya.
Fahmi berkata, jika ada mana-mana pihak yang merasakan perlu diambil tindakan, maka pihak berkuasa boleh ambil tindakan mengenainya.
“Tapi dalam kes ini, dapatan awal SKMM menunjukkan video itu tidak dapat dikesan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Nai’im Mokhtar mengingatkan pempengaruh media supaya tidak mencipta sensasi sehingga sanggup menormalisasikan perkara maksiat dan mungkar kerana menagih populariti.
Sebelum ini juga, sekeping gambar memaparkan sebuah program podcast yang menjemput ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu dan warganet melihat ia sebagai mempromosikan serta menormalisasikan aktiviti persundalan.
Lelaki berkenaan sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan mengiklankan video lucah menerusi aplikasi X.
































