Oleh Teo Kok Seong
Tahun naga membawa lambang kekuasaan, kesejahteraan dan kemakmuran.
Tahun Baharu Cina disambut setiap tahun antara 21 Januari dan 20 Februari pada takwim Barat. Untuk 2024, ia diwakili lambang naga pada zodiak Cina yang terdiri daripada 12 jenis haiwan.
Naga, harimau dan monyet dipercayai merupakan tiga lambang paling kuat pada carta telahan Cina. Sehubungan ini, naga membawa lambang kekuasaan, kesejahteraan dan kemakmuran.
Oleh sebab tahun ini dinaungi lambang naga, tarian naga dijangka akan lebih dipersembahkan untuk menonjolkan perayaan kali ini.
Memetik Utusan Malaysia, Tahun Baharu Cina disambut selama 15 hari yang bermula dengan terbitnya bulan baharu sehingga muncul bulan penuh dalam satu fasa itu. Ia sebenarnya bermula sehari sebelumnya lagi yang lebih berupa ehwal keluarga. Pada hari itu, acara jamuan besar diadakan bukan sahaja bagi menghimpunkan saudara yang pulang dari jauh tetapi juga menjalin semula persanakan dalam sesebuah keluarga etnik Cina itu.
Pada hari pertama perayaan, setiap orang Cina menghendaki mematuhi beberapa larangan antaranya termasuklah pantang larang menyapu lantai, membawa sampah keluar, mencuci pakaian dan membasuh rambut. Pada julat lampaunya, mandi juga ditegah.
Kegagalan pematuhan semua ini dipercayai boleh menyebabkan kesejahteraan dan kemakmuran tidak dapat dikecapi sepanjang tahun.
Sebaliknya untuk memperolehnya, pemberian sebilangan barang diwajibkan antaranya ialah hadiah limau mandarin dan sitrus lain termasuk limau bali.
Sehubungan pemberian ini, sebutan perkataan bahasa Cina untuk limau didapati menyerupai sebutan perkataan kesejahteraan dan kemakmuran, selain warna emas pada limau turut melambangkan kedua-dua restu itu yang sangat diingini etnik Cina. Justeru ia dianggap penting sekali semasa perayaan Tahun Baharu Cina.
Hari-hari seterusnya untuk tempoh seminggu, digunakan untuk menziarahi saudara dan rakan. Untuk ini, pakaiannya harus berwarna merah selain hendaklah yang baharu. Ini kerana merah melambangkan kesejahteraan dan perayaan ini juga adalah masa untuk menggantikan apa-apa yang lama dengan yang baharu, termasuk pakaian. Kini ramai juga yang mengenakan pelbagai jenis pakaian tradisional Cina dalam warna yang melambang kegembiraan. Antaranya ialah pakaian Tang selain cheongsam untuk kaum wanita.
Untuk suku Hokkien, Tahun Baharu Cina disambut hanya pada hari kesembilan. Ia kerana tragedi yang berlaku pada suku itu pada zaman lampau di Selatan China, sewaktu pemerintahan Wangsa Sung atau Mongol. Mereka dizalimi sehingga terpaksa mencari perlindungan dalam ladang tebu, walaupun sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina kerana dianggap sebagai ancaman kepada empayar Mongol.
Mereka hanya berjaya keluar dari ladang tebu pada hari kesembilan perayaan. Justeru hari itu terus diingati sehingga zaman moden ini. Dengan ini, bermula pada hari bersejarah itu yang menandakan mereka terselamat daripada serangan musuh, suku Hokkien memberi keistimewaan terhadap tebu dalam sambutan Tahun Baharu Cina. Ia dilakukan dengan meletakkan dua batang tebu panjang pada sisi kanan dan kiri tempat pemujaan.
Kemuncak Tahun Baharu Cina ialah hari ke-15 yang merupakan hari terakhir. Ia merupakan peristiwa tanglung dengan perarakannya pada waktu malam, selain tokong dipenuhi tanglung yang bernyala. Dalam pada itu, ia yang bersamaan dengan bulan penuh pertama untuk tahun baharu itu, dipanggil Cap Goh Mei.
Selepas hari terakhir ini, beberapa perhiasan Tahun Baharu Cina mula dikenal pasti untuk diturunkan. Walau bagaimanapun, sesetengahnya yang jenis tampalan pada dinding dan gantungan di siling dibiarkan terus kekal sehingga tibanya perayaan pada tahun berikutnya. Ini kerana ia dipercayai akan terus memberkati semua yang mendiami rumah itu.
Sepanjang perayaan, beberapa ucapan dianggap sangat sesuai. Antaranya adalah semoga semuanya baik untuk anda, mudah-mudahan anda sihat, kaya dan panjang umur, selain yang lazim, iaitu Gong Xi Fa Cai (doa kesejahteraan untuk anda) dan Xin nian kuai le (selamat menyambut tahun baharu). Di samping penyampaian ucap selamat ini, ang pau yang berupa sampul merah mengandungi wang dalam jumlah genap untuk tujuan limpahan rezeki, turut diberikan, khususnya kepada kanak-kanak.
Tahun Baharu Cina selain berupa sambutan terhadap permulaan tahun baharu dalam takwim Cina. Perayaan ini juga menitikberatkan aspek penting seperti tradisional iaitu sebagai waktu untuk memuja dewa, memperingati leluhur dan menghalau hantu demi kesejahteraan keluarga.
Satu daripada kepentingan lain itu ialah keperluan membuang perkara yang tidak baik dan yang lama untuk digantikan dengan yang baik dan baharu. Ia sebenarnya juga masa terbaik untuk berkunjung ke rumah ahli keluarga dan rakan taulan. Secara resamnya, waris paling tua dan terdekat dikunjungi dahulu dan kemudiannya diikuti yang muda dan jauh.
Dalam konteks Malaysia yang majmuk, Tahun Baharu Cina adalah masa paling unggul untuk kita yang berlainan etnisiti, agama dan budaya, terus memupuk perpaduan kaum yang lebih erat dan utuh dengan menziarahi rakan Cina.
Dalam pada ini, oleh sebab etnik Cina juga mempunyai kepercayaan mereka yang tersendiri, diperingatkan agar kita tidak sesekali mengenakan pakaian serba hitam atau putih, tidak menggunakan bahasa jelik, selain sangat berhati-hati supaya tidak memecahkan apa-apa jua barang kaca atau tembikar semasa menziarah. Ini sangat penting untuk mengelak tuan rumah daripada ditimpa nasib malang dan kecelakaan kelak.
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
































