Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan disalurkan kepada penjawat awam pada 23 Februari ini.
Menurut Utusan Malaysia, berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ibrahim sempena majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Anwar berkata, ia akan membabitkan bayaran insentif sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
“Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
“Bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen,” katanya.
Insentif itu diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Anwar berkata, kajian pelaksanaan SSPA akan dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan ini sebelum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diluluskan.
Menurutnya, mesyuarat pelaksanaan pelarasan gaji itu sudah dimulakan, malah Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersetuju mempercepatkan kajian itu.
“Alhamdulilllah, proses itu lebih cepat dari saya jangkakan ia diimbangi dengan keupayaan kita.
“Saya tidak mengatakan (proses) ini sengaja dilengah-lengahkan. Sudahlah kita menunggu selama 12 tahun selepas itu kena masuk mesyuarat jawatankuasa lagi.
“Tidak (untuk kali ini), kita akan ambil fast track(pelepasan/kelulusan segera). Perdana Menteri akan mempengerusikan dan kita muktamadkan,” katanya.
Kerajaan kini sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam selepas ia kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012.
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam(CUEPACS) sebelum ini menggesa kerajaan segera memperkenalkan kadar gaji minimum lebih baik untuk penjawat awam, tanpa menunggu hasil kajian dan pelaksanaan SSPA.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat dilaporkan berkata, langkah itu adalah penting, terutama bagi membolehkan penjawat awam akan datang mampu bertahan dengan peningkatan kos sara hidup jika kerajaan menguatkuasakan pemansuhan pencen selepas ini.
Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjangkakam laporan akhir kajian SSPA dijangka dibentangkan pada Julai ini sebelum diangkat untuk pembentangan Belanjawan 2025.
































