Alejandro Garnacho (tengah) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan dalam kemenangan 3-0 ke atas West Ham, semalam.
MANCHESTER: Dalam megharungi musim kedua yang sukar buat Erik Ten Hag di Manchester United, kemunculan Rasmus Hojlund, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo memberikan harapan untuk masa depan yang cerah The Red Devils.
Menurut Utusan Malaysia, Hojlund gagal menjaringkan gol dalam 14 perlawanan Liga Perdana pertamanya selepas perpindahan 64 juta pound ($81 juta) dari Atalanta, tetapi pemain Denmark itu meraikan hari lahirnya yang ke-21 dengan menjaringkan gol untuk perlawanan liga keempat berturut-turut.
Garnacho, 19, kemudian menjaringkan dua gol untuk memberikan United kemenangan kedua berturut-turut selepas Mainoo yang berusia 18 tahun menjaringkan gol kemenangan dalam kemenangan mendebarkan 4-3 keatas Wolves pada Khamis lalu.
“Saya telah menyatakannya sebelum ini dalam beberapa bulan kebelakangan ini, masa depan Manchester United sangat cerah dan kami mampu bangkit daripada musim yang suram kerana mempunyai pemain yang berbakat.
“Gol hari ini (semalam) menunjukkan pemain muda ada potensi tinggi…Setiap perlawanan mereka berkembang dan bertambah baik serta menyesuaikan diri ke tahap yang lebih tinggi,” kata Ten Hag.
Kemenangan itu menyaksikan United berada satu anak tangga di atas pasukan pelawat, iaitu di kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 38 mata selepas 23 perlawanan, ketinggalan lapan mata daripada penghuni tangga keempat carta.
Dalam aksi itu, United turun dengan misi besar untuk menewaskan West Ham yang dibimbing oleh David Moyes setelah The Red Devils tumpas ditangan pasukan berkenaan pada aksi Disember lalu.
“Kami membuat pilihan untuk memberikan pemain yang berhak peluang dalam pasukan, Garnacho dan Mainoo. Hojlund juga semakin meningkat.
“Kami mempunyai barisan serangan yang menjadi ancaman lawan dan mereka seronok bermain bola sepak. Tiga pemain meraikan bersama, ia bukannya mengenai seorang pemain, ia mengenai pasukan, 11 bertahan, 11 menyerang, seronok menyaksikan perlawanan itu.
“(Pemain muda) sudah tentu memerlukan permainan, mereka memerlukan pengalaman dan satu-satunya cara anda boleh dapatkannya adalah beraksi dalam pasukan utama.
“Mereka mempunyai sikap yang betul dan apabila kita mahu melihat peningkatan. Saya yakin mereka boleh capai tahap yang tinggi tetapi mereka memerlukan pemain berpengalaman untuk membantu mereka dan meletakkan mereka pada kedudukan yang tepat,” kata Ten Hag.
































