Anwar Ibrahim
REMBAU: Perdana Menteri akan membawa ke Kabinet bagi mendapatkan persetujuan supaya usul pemansuhan pencen melibatkan ahli politik dibawa ke Parlimen.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai tanggungjawab moral, beliau perlu membentangkannya kerana sukar untuk dirasionalkan sekiranya pemasuhan pencen itu dikecualikan kepada ‘orang politik’.
“Orang politik ini sistemnya berbeza, tetapi saya fikir munasabah untuk kaji, ia akan dikaji bersekali, jika penjawat awam ditiadakan (pencen) orang politik juga ditiadakan, tetapi semuanya tertakluk dengan kelulusan Parlimen.
“Jika Kabinet bersetuju, saya akan bentangkan, kalau ada ahli Parlimen yang mahu tolak, dia tolaklah. Saya akan bentangkan sebab daripada segi tanggungjawab moral, bagaimana boleh kita bentangkan kepada awam kerana alasan ekonomi tetapi diberikan pengecualian kepada orang politik, sukar saya mahu rasionalkannya.
“Saya akan dengar sebab saya belum bentang kepada ahli-ahli Parlimen untuk perbincangan awal, tetapi kalau mereka mahu elaun khas dan elaun tambahan lain kita boleh bincang tetapi daripada segi konsistensi dalam memperkenalkan dasar, saya rasa perlu bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Program Penggerak Madani Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Kerajaan Negeri dan Persekutuan) di Kem Wawasan Negara, Ulu Sepri di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu, Anwar mengakui, isu skim pencen kepada penjawat awam yang sedang hangat diperkatakan ketika ini belum dijelaskan sepenuhnya.
“Itu masalahnya, ada yang anggap bagaimana orang yang dapat pencen sekarang? Itu tidak boleh disentuh, ia akan diteruskan, bagaimana tentang orang (penjawat awam) baharu? Elaunnya tetap sama, tidak terkesan, jadi biar JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) cerakin dan buat pengumuman berikutnya.
“Bagaimanapun, untuk memuktamadkan kaedahnya itu, akan diperjelaskan, supaya jangan orang rasakan, penjawat awam baharu rasakan mereka akan rugi, mereka akan lihat tidak sangat terkesan atau rugi daripada sistem persaraan baharu yang akan diperkenalkan,” kata Perdana Menteri lagi.


































