Wilfred Madius Tangau ketika berucap pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, Selasa.
KUALA LUMPUR: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) merancang untuk membina sebuah jana kuasa berkapasiti 700MW sebagai langkah penyelesaian masalah catuan bekalan elektrik di Sabah secara tuntas.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, untuk tujuan itu, SESB sangat memerlukan bantuan dan sokongan daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sabah.
“SESB bercadang untuk membina penjana kuasa Combine Cycle Gas Turbine (CCGT) yang dimiliki sepenuhnya oleh SESB dengan bantuan kewangan melalui Belt and Road Initiative (BRI) dengan kerjasama negara China.
“Berhubung perkara ini, Tuaran memohon sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memasukkan rancangan ini dalam agenda perbincangan dengan Presiden China, Xi Jinping pada siri lawatan beliau ke negara ini sempena 50 tahun persahabatan antara China dan Malaysia pada tahun hadapan,” kata Madius yang juga Pengerusi SESB pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, di sini, Selasa.
Beliau turut memberi jaminan untuk memastikan seluruh warga SESB melakukan persiapan yang terbaik dan memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan rancangan tersebut
“Sebagai makluman, penjanaan 700MW bekalan tenaga elektrik ini akan beroperasi menggunakan gas.
“Oleh yang demikian, Tuaran meminta supaya pihak Kerajaan memberi arahan kepada PETRONAS untuk membekalkan gas pada kadar RM15/mmBTU kepada SESB untuk tujuan ini.
“Dengan sokongan penuh daripada semua pihak, kita berharap penjana kuasa berkenaan dapat disiapkan dalam masa kurang daripada dua tahun selepas kelulusan diperolehi.
“Saya ulangi langkah ini adalah sangat penting untuk menstabilkan bekalan elektrik di Sabah,” katanya.
Madius berkata, SESB juga bakal melaksanakan pemasangan sistem penyimpanan tenaga melalui bateri berkapasiti 100MW sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah catuan bekalan elektrik di Sabah.
Menurutnya, perkara itu telahpun diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia.
“Kami di SESB berharap Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) akan mempertimbangkan keputusan ST tersebut secara positif demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
“Sebagai makluman, stor penyimpanan bateri atau Battery Energy Storage System (BESS) ini akan menyimpan tenaga elektrik yang tidak digunakan semasa bukan waktu puncak (off peak load) iaitu tenaga yang tidak digunakan sekitar pukul 12 tengah malam hingga jam 7 pagi.
“Bekalan tenaga ini akan menjadi back up untuk menampung keperluan permintaan tinggi pengguna pada waktu puncak (peaking load) terutamanya pada musim cuaca panas atau atas faktor-faktor lain yang berkaitan termasuk sekiranya berlaku system breakdown,” katanya.
Madius berkata, beliau dan wakil-wakil rakyat dari Sabah sudah sekian lama berhujah di Dewan Rakyat bahawa Sabah adalah satu-satunya wilayah di Malaysia yang masih mengalami catuan bekalan elektrik.
“Keadaan ini berlaku kerana kapasiti penjanaan sedia ada yang rendah iaitu dengan reserve margin di bawah paras 12 peratus. Reserve margin ini bermaksud stok tenaga elektrik untuk kegunaan semasa kecemasaan terutama apabila berlakunya system breakdown atau sekiranya berlaku permintaan yang tinggi melebihi kebiasaan dalam kalangan pengguna elektrik.
“Sehubungan dengan itu, Tuaran mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Tenaga Malaysia di atas keputusan meluluskan installation of 100MW capacity battery storage ini.
“Namun demikian, langkah ini adalah bersifat sementara dan tentunya tidak dapat menyelesaikan masalah reserve margin yang rendah,” jelasnya.
Sementara itu, Madius berkata, Sabah perlu mencontohi sistem tata kelola bekalan tenaga elektrik Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Sarawak apabila urus tadbir diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada tahun hadapan.
“Apabila urus tadbir bekalan elektrik diserahkan pada awal tahun hadapan, kita harapkan sistem governans bertambah baik dari yang sedia ada sekarang.
“Kerajaan Sabah harus mencontohi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak di mana terdapat tiga komponen utama dalam tata kelola tenaga.
“Sebagai contoh, di peringkat Pesekutuan ada pembuat dasar yakni Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; ada pengawal selia atau regulator yakni Suruhanjaya Tenaga (ST) dan ada syarikat utiliti yakni Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Ketiga-tiga komponen ini bekerjasama secara satu pasukan ataupun a seamless governance dan bukannya bekerja in silo trying to outdo one another,” katanya.
Madius berkata, Kerajaan Sabah perlu diperingatkan bahawa walaupun hal bekalan elektrik adalah hal Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, namun Kerajaan Persekutuan telah memberi tanggungjawab utiliti ini kepada wilayah itu sejak pembentukan Malaysia.
“Walau bagaimanapun pada tahun 1982, Kerajaan Sabah sendiri menyerahkan urus tadbir bekalan elektrik kepada Persekutuan kerana tekanan bebanan isu kelestarian kewangan.
“Dan pada hari ini atas sebab kelestarian kewangan ini jugalah, maka Kerajaan Persekutuan memberikan semula tanggungjawab mengurus tadbir hal ehwal bekalan elektrik kepada Sabah.
“Tuaran berharap reassignment ini akan berkekalan sampai bila-bila dan bukan sebaliknya,” kata Madius, sambil turut mengulangi pendiriannya terhadap isu bekalan air di Sabah.
Katanya, bekalan air bersih sudah sekian lama menghantui bumi di Bawah Bayu itu.
“Ada juga pengumuman khusus tentang intervensi pihak Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, namun sehingga kini rakyat masih tertunggu-tunggu bilakah rancangan itu menjadi realiti.
“Hakikatnya rakyat mengharungi kepayahan menghadapi berhari-hari catuan bekalan air. Sudahlah reserve margin pada paras negatif, lori yang menghantar bekalan air pula tidak cukup.”
Beliau menambah, tata kelola bekalan air di Sabah juga harus mengikuti langkah seperti apa yang telah dilakukan di peringkat Persekutuan.
“Ada pembuat dasar yakni Kementerian; juga perlu ada regulator seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kemudian ada syarikat utiliti untuk menjalankan operasi rawatan dan pengagihan bekalan air.
“Dewan Yang Mulia ini tidak perlu diperingatkan dengan kes salah guna kuasa di Jabatan Air Sabah yang sudah bertahun-tahun dibicarakan tanpa kesudahan. Rakyat tertanya-tanya bilakah kes ini selesai,” tegas Madius.


































