Andi (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama dengan peserta program
TAWAU: Rakyat Sabah sama ada di kawasan bandar atau luar bandar tidak boleh ketinggalan dalam kemajuan pantas teknologi digital demi untuk memastikan pembangunan negeri yang mampan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian and Keusahawanan Sabah (MIDE), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Katanya, ini juga sejajar dengan hasrat MIDE untuk mempertingkatkan keupayaan usahawan dan masyarakat Sabah secara amnya dalam mengintegrasikan penggunaan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ini dalam kehidupan seharian mereka.
“Untuk merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Sabah mengalu-alukan pelbagai pihak untuk bersama-sama bergembleng bahu untuk menganjurkan program yang boleh melahirkan anggota masyarakat yang fasih digital seperti Program Sekolah@MMU,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Sekolah@MMU Sabah 2023 yang dianjurkan oleh Universiti Multimedia (MMU) di SMK Kuhara, di sini, hari ini, Ahad.
Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, tema ‘Ledakan Teknologi, Pemacu Transformasi’ yang dibawakan oleh program tersebut juga sejajar dengan matlamat Kerajaan Sabah untuk menjadi sebuah negeri perindustrian menjelang tahun 2040.
“Negeri perindustrian yang kita idam-idamkan ini sudah tentu memerlukan persiapan modal insan dan tenaga pakar yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan digital. Apatah lagi, permintaan untuk kemahiran-kemahiran ini kian meningkat dalam segala sektor industri bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh negara.
“Maka, sayugialah kemahiran-kemahiran ini perlu kita gilap terutamanya dalam diri para belia di Sabah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam hal ini. Di sekolah, pendedahan awal dan penerapan bidang ini amat signifikan untuk memberi nilai tambah kepada para pelajar untuk mendapat pekerjaan dengan lebih mudah pada masa depan.
“Contoh yang sangat relevan pada zaman ini ialah perniagaan secara dalam talian (online shopping) yang kini menjadi trend di negara kita sekarang.Ia telah menjadi sebuah platform untuk menambah peluang pekerjaan dan sumber rezeki kepada masyarakat seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara,” ujarnya.
Di samping itu katanya, pendedahan dan penerapan ilmu digital ini juga dapat meningkatkan kesedaran para pelajar tentang isu-isu tular yang berkait rapat dengan alam digital misalnya gejala siber buli, pemalsuan identiti, penggodaman akaun dan sebagainya.
“Dengan wujudnya kesedaran ini, gejala seperti ini dapat dikurangkan dan dielakkan seterusnya melahirkan masyarakat digital yang baik dengan penggunaan ilmu secara bijak dan efisien,” tambahnya.
Oleh sebab itu, Andi yang juga ADUN Tanjung Batu memuji inisiatif Sekolah@MMU yang menyediakan pendedahan yang mantap kepada generasi muda Sabah untuk menguasai bidang teknologi dan digital bagi memenuhi kehendak keperluan semasa.
“Saya difahamkan, pelajar-pelajar berpeluang untuk mempelajari modul-modul merangkumi elemen keusahawan serta digital seperti penyuntingan video dan pembangunan laman web yang sangat relevan dengan kehendak industri.
“Bahkan, ilmu-ilmu yang diperoleh oleh para pelajar SMK Kuhara ini dapat menjadi batu loncatan buat mereka untuk menjadi seorang tekno usahawan pada masa depan. Saya percaya, kesempatan untuk mempelajari ilmu ini daripada MMU adalah peluang keemasan bagi para pelajar ini.
“Oleh itu, saya berharap agar segala input yang diterima oleh warga sekolah sepanjang program yang berlangsung selama tiga hari dan dua malam ini akan dapat diperluaskan lagi melalui aktiviti-aktiviti sekolah pada masa akan datang.
“Pelajar-pelajar juga diharapkan agar sentiasa mengaplikasikan ilmu yang telah dicurahkan oleh para fasilitator MMU dengan sebaik mungkin dan terus meningkatkan pengetahuan mengenai teknologi terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
Program tersebut juga membuktikan bahawa mahasiswa MMU adalah golongan yang tidak hanya mementingkan pembelajaran dalam bilik kuliah semata-mata tetapi juga prihatin terhadap keperluan khususnya perkembangan pembangunan masyarakat di luar bandar, kata Andi, sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada warga MMU dan seluruh ahli jawatankuasa pelaksana yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan Program Sekolah@MMU.
Beliau juga amat berharap agar program ini dapat diteruskan dan dilaksanakan pada masa akan datang.
Turut hadir Presiden merangkap Ketua Pegawai eksekutif Universiti Multimedia, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud; Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, Norlela Ansley; Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Raisin Saidin; Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara, Mokthar Haji Abdul Rashid dan Pengarah, Program Sekolah@MMU Sabah 2023, Nur Batrisyia Mohd Nizan.


































