Liew (empat dari kiri) menyerahkan 1000 unit yogurt keluaran Desa Farm kepada Amir.
TAWAU: Pembinaan asrama dilihat sebagai satu keperluan utama bagi memudahkan pelajar luar bandar melanjutkan pendidikan di Kolej Pra Universiti KPM Tawau.
Pengerusi Kumpulan Desa Sabah Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, selepas enam tahun dibuka, kolej tersebut kini menempatkan lebih 900 pelajar dan menjadi antara pilihan ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sekitar Tawau dan Kalabakan.
“Saya melihat pembinaan asrama menjadi antara keperluan mendesak di kolej ini khususnya bagi pelajar yang tinggal jauh di kawasan luar bandar.
“Justeru, saya berharap agar pihak Kerajaan dapat mempertimbang perkara ini seterusnya membantu memudahkan anak bangsa kita mendapatkan pendidikan dengan lebih mudah dan kondusif,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jogathon Kolej Pra Universiti KPM Tawau, di sini, hari ini.
Beliau turut mengedarkan 1,000 unit yogurt produk keluaran Desa Farm kepada peserta dan warga Kolej Pra Universiti KPM Tawau.
Turut hadir Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP), Sahari Bulan Nuhung dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru kolej berkenaan, Amir Kanje.
Tambah Liew, selain asrama, pihaknya turut mengemukakan permohonan sebuah bas mini untuk kegunaan kolej berkenaan.
“Permohonan ini sudah saya kemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan jika tiada halangan akan diberikan (kepada kolej) pada tahun hadapan.
“Semoga dengan adanya kemudahan bas mini tersebut, ia dapat memudahkan pihak kolej mengadakan aktiviti di luar,” katanya.
Dalam pada itu, Liew turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada tabung PIBG kolej berkenaan sebagai tanda sokongan berterusan daripada pihaknya terhadap aktiviti pelajar.































