Lelaki yang didakwa bersubahat dalam kejadian rogol adik iparnya dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan.
KUALA LUMPUR: Seorang abang ipar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas pertuduhan bersubahat menyebabkan adik iparnya dirogol secara bergilir-gilir oleh beberapa lelaki di sebuah rumah di Wangsa Maju di sini, akhir bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, bapa empat anak itu didakwa bersubahat bersama-sama rakan sejenayah yang masih bebas dengan cara memudahkan perbuatan rogol berkumpulan terhadap adik iparnya berusia 26 tahun.
Tertuduh yang berusia 29 tahun didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju di sini antara pukul 2 pagi dan 3.30 pagi pada 30 Ogos lalu.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan dibaca bersama 375B kanun sama yang memperuntukkan penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya
Roslizi Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan masih ada suspek yang belum dapat ditangkap dalam kes itu.
“Sekiranya mahkamah memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan bimbang usaha mengesan suspek-suapek yang terlibat dalam kes ini akan tergendala apatah lagi tertuduh adalah ahli keluarga (abang ipar mangsa) dan mereka tinggal bersama,” kata Roslizi.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Izralizam tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Oktober ini bagi sebutan kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang wanita secara berkumpulan di sebuah rumah di Wangsa Maju, akhir bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa telah dirogol pada pukul 3.30 pagi oleh lima lelaki di sebuah rumah di Wangsa Maju.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang tidur di dalam bilik, tersedar apabila mulutnya ditutup dengan tangan oleh suspek yang juga dipercayai rakan kepada abang iparnya.
Hasil siasatan lanjut kemudian mendapati kejadian akibat hutang oleh abang ipar mangsa.





























