Masiung (empat dari kanan) bersama Redonah (dua dari kanan), Dr. Roland, Bobbey dan para pemimpin Gagasan Rakyat Kuamut melaungkan slogan Gagasan Rakyat.
KOTA KINABALU: Pemimpin politik di peringkat daerah perlu bersedia menerima cercaan dan fitnah, kerana itulah seni yang harus dilalui orang politik, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
“Kritikan dan tuduhan bersifat fitnah merupakan komplot yang menguji ketabahan kita apabila memasuki arena politik,” ujarnya pada majlis apresiasi penyampaian watikah perlantikan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di kediaman beliau di Jalan Ganang, Kepayan, di sini, semalam.
ADUN Kuamut itu berpesan kepada tiga sayap utama parti berkenaan supaya merumuskan suatu agenda baharu bukan sahaja untuk parti tetapi kepada semua lapisan masyarakat.
Masiung mahukan tiga sayap itu tidak hanya sekadar berperanan memperkuatkan parti di peringkat daerah tetapi perlu menjana kekuatan di peringkat negeri.
“Tidak salah kita bercita-cita tinggi dalam politik, tapi harus diingat… politik ini keras, kerana kelak cita-cita itu boleh mengundang susut nilai kita sebagai pemimpin,” katanya.
Pada majlis itu, ahli-ahli jawatankuasa tiga sayap utama Gagasan Rakyat Kuamut telah menerima watikah perlantikan masing-masing.
Pergerakan Wanita diketuai Jalilah Apiang, Ketua Pemuda oleh Willy Frous Darinsok dan Beliawanis, Siti Khalidah Mahalil.
Turut hadir menyampaikan watikah ialah Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang. serta Ahli-ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Bobbey Suan dan Dr. Roland Chia.
Sementara itu, Maisung berkata, beliau merasakan kerjaya politiknya telah berakhir apabila tiada sebuah parti mencalonkannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Negeri ke-16 (PRN16) lalu.
“Desakan rakan-rakan pimpinan di Kuamut yang datang berkampung di rumah saya selama empat hari, membolehkan saya bersetuju sambil mencuba nasib bertanding sebagai calon Bebas,” kongsinya.
Katanya, perjalanan politik beliau untuk meraih semula sokongan rakyat tidak semudah yang disangka apabila keputusan PRN pada September 2020 telah memberi laluan bergaya kepada beliau untuk mempertahankan kerusi Kuamut.
Masiung menang dengan 2,802 undi (majoriti 978).
April tahun ini, Masiung dilantik Naib Presiden III Gagasan Rakyat pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor selepas menjadi Wakil Rakyat Bebas selama hampir tiga tahun.
Beliau menjadi Wakil Rakyat Kuamut bermula pada 2008 menerusi parti UPKO/BN dan keluar pada 2018 sebelum menyertai Parti Warisan beberapa bulan sebelum bertanding sebagai calon Bebas.





























