Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Tiga buah rumah dan dua buah kenderaan hangus dijilat api di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi memberitahu, kejadian berlaku di Taman Mepo, Lorong 1, Kolombong, pada kira-kira jam 4 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 4.41 petang dan sepasukan sembilan anggota diketuai oleh Komander Operasi, PKPgB Dunstan Peter dikejarkan ke lokasi.
Turut serta dalam operasi tersebut adalah anggota dari Balai Bantuan BBP Kota Kinabalu seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah lori tangki.
“Pegawai Penyiasatan Negeri, PKPgB Razali Awang Ahmad, PPgB Musran Jabri, PPgB Nelson Ponji, PBK II KUP Azrul Nuadin juga sama-sama dalam operasi tersebut, di samping anggota PDRM dan SESB,” katanya.
Agustavia berkata, setiba di tempat kejadian yang terletak tiga kilometer dari BBP itu, anggota bomba mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis kekal berkeluasan 20×30 setiap sebuah.
“Sebanyak dua buah rumah terbakar 100 peratus dan sebuah lagi terbakar 70 peratus. Turut terbakar dua buah kenderaan iaitu Isuzu D-Max terbakar 100 peratus dan lori Suzuki 1 tan terbakar 50 peratus.
“Dalam pada itu, sebanyak lima buah rumah lagi berjaya diselamatkan dari terbakar,” katanya.
Menurut Agustavia, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran tiga pancutan 300 kaki sumber air dari pili bomba berhampiran dan jentera water tanker.
Katanya, pasukan bomba mengalami kesukaran membuat pemadaman kerana tekanan air dari pili bomba rendah.
“Mujur tiada mangsa terlibat dilaporkan, dan operasi terkawal pada jam 6.11 petang sebelum ditamatkan 40 minit selepas itu,” jelas beliau.