Mangsa berehat di dalam jentera EMRS Bomba sebelum dibawa ke hospital. – Ihsan Bomba
RANAU: Pasukan penyelamat membawa turun seorang pendaki remaja warga England yang dilaporkan mengalami kesukaran untuk bernafas, iaitu simptom Penyakit Akut Gunung (AMS), dan hipotermia ketika berada di atas Gunung Kinabalu du Kundasang, dekat sini, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib memberitahu, kejadian melibatkan remaja berusia 17 tahun itu berlaku di Sick Bay, Panalaban, pada kira-kira jam 1 petang.
Katanya, makluman diterima menerusi talian balai pada jam 1.45 petang dan sepasukan lima anggota, diketuai Komander Operasi, PBB Suparin Kumin bergegas ke lokasi.
“Turut bersama-sama terlibat dalam operasi tersebut adalah tiga orang anggota Malim Gunung dan lima orang anggota penyelamat Taman-Taman Sabah.
“Setibanya di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari pusat kawalan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) itu, didapati terdapat seorang pendaki mengalami simptom Penyakit Akut Gunung (AMS) dan hipotermia,” katanya.
Ridwan berkata, pasukan MOSAR dengan bantuan Park SAR dan Malim Gunung memberi bantuan oksigen dan membaluti mangsa dengan emergency blanket sebagai rawatan awal.
Katanya, mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate di kaki Gunung Kinabalu menggunakan kaedah pengusungan Skirt Robinson Stretcher dan Piggy Back Carrying Method.
“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Ranau oleh pasukan EMRS Bomba untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” tambahnya.
Operasi ditamatkan pada jam 7.42 petang.