Norlenah (kiri) dan Sabariyah (paling) bersama seorang lagi peserta program Nuria Moksin, 67 (tengah)
LABUAN: Program Zero To Hero@Labuan memberi harapan baharu kepada golongan asnaf di wilayah itu dalam meningkatkan ekonomi mereka.
Menurut salah seorang peserta program itu dalam kluster produk kraftangan (bahan terbuang), Norlenah Rosli 38 berkata mereka diberi latihan mengolah bahan-bahan terbuang menjadi kraftangan oleh tenaga-tenaga pengajar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Kami ditawarkan menyertai program ini oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan diberi latihan dalam pelbagai aspek untuk menjadi usahawan kraftangan.
“Selepas melalui pelbagai fasa yang mencabar dalam program ini kami berharap dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan golongan asnaf lain sekaligus membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan tegar di pulau ini.
“Kami ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak UPM dan MAIWP yang mencurahkan banyak ilmu kepada kami untuk menjadi usahawan yang berjaya,”katanya semasa ditemui di sini semalam.
Sementara itu seorang lagi peserta Sabariyah Radin, 46 merasai perubahan yang positif dalam diri selepas melalui tiga fasa latihan dalam program tersebut.
“Kami memilik kemahiran untuk menghasilkan kraftangan daripada bahan buangan seperti kayu hanyut dan cengkerang seperti lampu hiasan, aksesori hiasan diri, cermin hiasan dan penyepit rambut.
“Produk-produk yang kami hasilkan berpotensi menjadi produk identiti Labuan dan nilai tarikan tersendiri sekaligus sebagai sumber pendapatan, kami sedang menjual produk kami serta terbuka untuk menerima tempahan,”katanya lagi.
Program Zero To Hero@Labuan bertujuan meningkatkan pendapatan komuniti Labuan menerusi inovasi dan kreativiti produk kraftangan bahan terbuang, produk hiliran seperti pertanian dan makanan.
Program itu terbahagi kepada tiga kluster iaitu kluster produk kraftangan (bahan terbuang ), kluster makanan/pastri dan kluster pertanian fertigasi.
Program yang dianjurkan Fakulti Ekologi Manusia, UPM itu mendapat kerjasama MAIWP dan Jabatan Wilayah Persekutuan serta disokong oleh Perbadanan Labuan.
Laporan/foto : JaPen Labuan
keterangan gambar :































