Sahira (enam dari kanan) dan Kerishine (lima dari kiri) selepas dinobatkan sebagai Juara dan Naib Johan.
NABAWAN: Sahira Samson dinobatkan sebagai Juara Unduk Ngadau Daerah Nabawan sempena Pesta Kaamatan Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan 2026 yang berlangsung di sini, pada Sabtu.
Kemenangan itu melayakkan Sahira membawa pulang wang tunai RM8,000 selain piala dan jambangan bunga, sekali gus mewakili Nabawan ke pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang pada 31 Mei ini.
Turut menemani Sahira ke pertandingan peringkat negeri ialah pemenang naib johan, Kerishine Danil yang akan mewakili Daerah Kecil Pagalungan.
Kerishine memenangi wang tunai bernilai RM6,000 manakala pemenang tempat ketiga, Gracesya Norahemelyn membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Sementara itu, Dyeneley Daud muncul juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) disusuli Mascherlyan Masirin sebagai Naib Johan dan Ardy Ardiano Martin di tempat ketiga.
Penyampaian hadiah pertandingan RTK disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin manakala penyampaian hadiah Unduk Ngadau disampaikan oleh isteri Abdul Ghani, Datin Asiah Doreen Azlan.
Pertandingan itu bukan sahaja menjadi medan mengetengahkan bakat generasi muda, malah turut membantu memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat tempatan.
































