Hajiji secara simbolik menyerahkan komputer riba kepada Dr. Ferro pada majlis penyerahan sumbangan di Hospital Queen Elizabeth II, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan sumbangan komputer riba kepada Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, hari ini.
Sumbangan itu diserahkan kepada Pengarah HQE II Dr Ferro Firdaus Ibrahim di pejabat pengarah dan disaksikan oleh ketua-ketua jabatan hospital berkenaan.
Hajiji berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong usaha meningkatkan kemudahan dan keupayaan perkhidmatan kesihatan di Sabah.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membantu kelancaran urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan HQE II.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hospital (Klinikal I) Dr Parvin Rubon A/L Arangulavan; Timbalan Pengarah Hospital (Klinikal II) Dr Eva Candra Susanti Suhali; dan Timbalan Pengarah Hospital (Pengurusan) Datin Shevena I Jumin Jeffrey.






























