Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendesak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperjelas komitmen peruntukan serta jadual pelaksanaan pelbagai projek pembangunan luar bandar di Sabah, termasuk menaik taraf 3,491 kilometer jalan raya Jabatan Kerja Raya (JKR) yang masih memerlukan penambahbaikan.
Beliau berkata berdasarkan anggaran kos RM4 juta bagi setiap kilometer, keperluan keseluruhan untuk menaik taraf jalan berkenaan dianggarkan hampir RM14 bilion.
Madius meminta kementerian mengesahkan angka itu serta menjelaskan jumlah kilometer yang disasarkan untuk dinaik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), termasuk peruntukan tahunan dan sasaran penyelesaian.
“Tuaran minta Menteri mengesahkan angka ini. Bila semuanya akan selesai dinaik taraf? Berapa kilometer disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas, dengan pembiayaan berapa setiap tahun?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi KKDW di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Presiden Kehormat UPKO itu turut meminta kementerian menyatakan jumlah peruntukan khusus untuk Sabah pada 2027, termasuk jumlah jalan yang akan mula dinaik taraf dan yang dijangka siap dalam tahun berkenaan.
Beliau juga membangkitkan status pembinaan Jambatan baharu Tamparuli dan meminta kementerian menjelaskan bila projek itu akan dimulakan.
Madius turut meminta KKDW memberikan gambaran sebenar mengenai projek pembangunan luar bandar yang dibatalkan atau ditangguhkan, termasuk projek yang masih berjalan, yang terjejas serta bila pelaksanaannya akan disambung semula.
“Sekarang Tuaran minta KKDW nyatakan keadaan sebenar. Projek mana masih berjalan, mana tertangguh dan bila akan disambung?” katanya.
Beliau turut meminta kementerian menyediakan senarai lengkap semua projek Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar di Parlimen Tuaran, berserta kemajuan fizikal, peruntukan 2027, tarikh siap serta tindakan terhadap projek yang mengalami kelewatan.
Membangkitkan isu kelewatan projek Jalan Mantob–Gonipis, Madius berkata projek berkenaan sepatutnya siap pada Mac 2026, namun berdasarkan maklumat yang diterimanya, kerja di tapak masih berjalan perlahan dengan jumlah jentera yang terhad.
Beliau mempersoalkan proses pemilihan kontraktor, khususnya sama ada kemampuan kewangan, tenaga kerja, jentera dan jumlah projek yang sedang dikendalikan telah dinilai sebelum kontrak diberikan.
“Bagaimana kontraktor ini dipilih? Adakah kemampuan kewangan, pekerja, jentera dan beban projeknya diperiksa? Apa tindakan kementerian sekarang, dan bila jalan ini akan siap?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan wujudnya pakatan kartel dalam pemberian kontrak serta kemungkinan syarikat tertentu menerima terlalu banyak projek sehingga tidak mampu menyiapkannya mengikut jadual.
“Orang kampung terus menanggung kesusahan. Anak-anak perlu ke sekolah, petani membawa hasil dan orang sakit mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam isu bekalan air, Madius mendesak KKDW memperjelas status pelaksanaan empat projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang melibatkan kawasan Parlimen Tuaran.
Projek berkenaan merangkumi Sistem Retikulasi Tahun 2018/2019 Bahagian Kota Kinabalu yang turut melibatkan Tuaran, Upper Kiulu, Bukit Giling–Ulu Bakut serta Penimbawan dan kawasan sekitarnya.
Beliau meminta kementerian menjelaskan bila penduduk di kawasan terbabit dapat menikmati bekalan air terawat, selain memastikan dokumen pelaksanaan dan pembiayaan projek tersedia susulan penyerahan pelaksanaan kepada Kerajaan Sabah.
“Bila air akan sampai ke rumah penduduk? Selepas pelaksanaan diserahkan kepada Sabah, adakah dokumen dan pembiayaan sudah tersedia?” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan projek perlu memastikan penduduk benar-benar menerima bekalan air dan bukan sekadar menyiapkan infrastruktur fizikal.
Bagi projek Penimbawan, beliau turut meminta kementerian memberikan maklum balas terhadap permintaannya untuk meningkatkan kapasiti loji daripada empat juta liter kepada 16 juta liter sehari supaya kawasan Tenghilan turut mendapat manfaat.
“Bagi Penimbawan, apakah keputusan permintaan Tuaran menambah kapasiti loji daripada empat kepada 16 juta liter sehari supaya Tenghilan turut mendapat manfaat?” soalnya.
Madius turut membangkitkan projek Kapa–Sinalapak dan meminta kementerian menjelaskan sama ada masalah tapak serta sumber air telah diselesaikan.
“Projek diteruskan atau diganti, dan bila penduduk mendapat air?” katanya.
Mengenai bekalan elektrik pula, beliau meminta KKDW memperincikan peruntukan khusus untuk Tuaran di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Zon Tiga yang melibatkan beberapa daerah.
Beliau mahu kementerian menyatakan kampung yang akan menerima kemudahan elektrik serta jumlah rumah yang disasarkan mendapat bekalan sepanjang 2027.
“Bagi BELB Zon Tiga yang melibatkan beberapa daerah, berapa peruntukan khusus untuk Tuaran? Kampung mana dan berapa rumah akan mendapat elektrik pada 2027?” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius turut meminta KKDW memperincikan pengagihan peruntukan RM438 juta di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dalam Belanjawan 2027.
Beliau berkata kementerian perlu menjelaskan jumlah sebenar peruntukan untuk Sabah dan Parlimen Tuaran, termasuk pecahan bagi bantuan perumahan serta program peningkatan pendapatan.
“Berapa untuk Sabah dan Tuaran? Nyatakan pecahan bantuan rumah dan peningkatan pendapatan,” katanya.
Beliau turut meminta kementerian menyatakan jumlah keluarga yang masih menunggu bantuan perumahan serta bilangan keluarga yang akan menerima manfaat sepanjang 2027.
“Berapa keluarga masih menunggu bantuan rumah, dan berapa akan dibantu tahun depan?” soalnya.
Madius berkata maklumat terperinci mengenai pecahan peruntukan dan sasaran penerima penting bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya keluarga berpendapatan rendah yang berhadapan masalah perumahan dan kekurangan peluang meningkatkan pendapatan.
Beliau menegaskan bahawa kemudahan jalan raya, bekalan air, elektrik dan perumahan merupakan keperluan asas yang perlu diberikan perhatian serius, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
“Rakyat mahu jalan selamat, air sampai, elektrik tersedia dan rumah selamat didiami,” katanya.
Madius menggesa KKDW menetapkan sasaran serta tarikh penyelesaian yang jelas bagi setiap projek dan program, selain memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.
“Pastikan setiap peruntukan membawa perubahan kepada kehidupan mereka. Selesai untuk rakyat,” tegasnya.






























