Masidi menyaksikan Pegawai Malaysia Book of Records Siti Hajat Johor menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Jackson Ronald Jaimi.
KOTA KINABALU: Ranau berpotensi muncul sebagai pengeluar kopi premium yang mampu menembusi pasaran antarabangsa sekiranya rantaian industri kopi tempatan dibangunkan secara menyeluruh, termasuk penanaman, pemprosesan, pemanggangan dan pemasaran.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBR) bagi ladang kopi pada altitud tertinggi di Kampung Toboh Lama, Ranau, perlu dimanfaatkan untuk menjana manfaat ekonomi sebenar kepada penduduk setempat.
Beliau berkata petani tidak seharusnya melihat diri mereka sekadar sebagai pengeluar hasil ladang, sebaliknya perlu tampil sebagai usahawan yang mempunyai peranan dalam rantaian industri kopi premium.
Menurutnya, potensi industri itu amat besar berdasarkan nilai pasaran kopi domestik yang dianggarkan RM4.4 bilion, dengan lebih 6,400 kafe di seluruh negara.
“Kopi specialty dari Ranau pula dilaporkan mampu dijual pada harga RM50 hingga RM65 bagi pek 250 gram.
“Ini menunjukkan nilai yang boleh dijana jika kualiti, bekalan dan pemasaran diurus dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran The Malaysia Book of Records (MBR) ‘Highest Altitude Coffee Plantation’ 2026 di Kampung Toboh Lama, Ranau.
Masidi berkata terdapat tiga peluang utama yang perlu diberi perhatian bagi membangunkan industri kopi di Ranau.
Katanya, usaha pertama ialah meningkatkan pengeluaran serta membangunkan rantaian nilai industri daripada penanaman, pemprosesan dan pemanggangan hingga pembungkusan serta pemasaran supaya lebih banyak nilai ekonomi kekal dalam tangan pengusaha tempatan.
Kedua, katanya, lebih ramai agropreneur muda perlu dilahirkan dengan menggalakkan anak muda Ranau menceburi industri kopi, termasuk bidang pemanggangan, pembangunan jenama dan pemasaran digital.
“ Tidak mustahil suatu hari nanti kita mempunyai jenama atau rangkaian kafe kopi tanah tinggi Sabah yang dikenali di seluruh negara,” katanya.
Peluang ketiga ialah menghubungkan industri kopi dengan sektor pelancongan menerusi cadangan pembangunan ‘Coffee Trail Ranau’.
Beliau berkata selain Gunung Kinabalu dan Kundasang, pengunjung boleh diberi peluang mengenali ladang kopi tanah tinggi, melihat proses pengeluaran serta menikmati kopi tempatan, sekali gus membuka sumber pendapatan tambahan kepada komuniti.
Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bersama Jabatan Pertanian menyediakan pelan tindakan pembangunan industri kopi Ranau selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Keutamaan termasuk penyediaan kemudahan pascatuai, latihan dan mekanisasi, penyelidikan bagi mengekalkan mutu kopi serta memperluaskan jaringan pemasaran.
Pada masa sama, pengusaha perlu dibimbing memenuhi piawaian seperti myGAP atau myOrganic yang bersesuaian bagi memastikan mutu produk konsisten dan membantu kopi Ranau menembusi pasaran premium, termasuk antarabangsa.
Masidi berkata kejayaan sebenar pengiktirafan itu bukan sekadar nama Ranau tercatat dalam buku rekod, tetapi apabila lebih ramai petani meningkatkan pendapatan, golongan muda memperoleh peluang pekerjaan dan masyarakat kampung menikmati kehidupan lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Sabah, JUPEM, panel MBR dan seluruh komuniti Kampung Toboh Lama atas usaha menjayakan pengiktirafan berkenaan.
Pada majlis itu, Masidi turut menyempurnakan perasmian Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama dan berharap kemudahan berkenaan dimanfaatkan untuk kegiatan belia, kebudayaan, sukan serta program kemasyarakatan.
































